Datuk Bandar sampaikan sumbangan barangan makanan kepada 200 peniaga pasar malam
- Details
- Komuniti
- Hits: 815

IPOH - Pendapatan penjaja dan peniaga kecil semakin terjejas sehingga ada dalam kalangan mereka yang terpaksa gulung tikar sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan akibat pandemik Covid-19.
Sehubungan itu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melalui program MBI Prihatin terpanggil untuk membantu golongan terbabit dengan memberi sumbangan barangan makanan kepada 10 persatuan di sekitar bandar raya ini untuk diagihkan kepada 200 peniaga pasar malam yang terkesan.
Sumbangan ini turut mendapat kerjasama Persatuan Pemborong Sayur dan Persatuan Pemborong Ikan dari Pasar Borong Kuala Pari.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, setakat ini seramai 2,000 peniaga pasar malam yang berdaftar dengan MBI.
Katanya, tahun lalu MBI telah memberi sumbangan berbentuk wang tunai kepada peniaga-peniaga terbabit.
"Hari ini, kita menyampaikan sumbangan kepada 200 peniaga pasar malam yang betul-betul terjejas kerana mereka tidak memperolehi punca pendapatan lebih sebulan.
"Bagaimanapun, kita mengambil inisiatif untuk membantu peniaga-peniaga yang benar-benar layak dengan memberikan permit penjaja sementara (PPS) supaya mereka dapat berniaga di lokasi bersesuaian tanpa ada kacau ganggu di kawasan persekitaran," katanya.
Hadir sama, Ahli Majlis MBI Zon 15 (Pasir Pinji), Khoo Boon Chuan; Pengerusi Persatuan Pemborong Sayur Pasar Borong Kuala Pari, Tan Peng Kiang dan Persatuan Pemborong Ikan Pasar Borong Kuala Pari, Goh Wee Seng.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Perkasa Negeri Perak, Suhaimi Derais berkata, kira-kira 800 penjaja di bawah persatuan tersebut berdepan masalah kewangan apabila mereka tidak dapat menjana pendapatan selepas pasar malam diarahkan untuk tidak beroperasi sewaktu PKP.
"Sebanyak 70 peratus penjaja yang hanya meraih pendapatan melalui perniagaan di pasar malam terkesan sewaktu pandemik ini manakala 30 peratus lagi masih mampu meraih pendapatan memandangkan mereka berniaga secara sambilan.
"Kita juga ada memohon bantuan melalui saluran politik, wakil rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) namun ia masih tidak mampu menampung semua penjaja terbabit," jelasnya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada MBI dan pihak lain di atas sumbangan yang diberikan.
Dalam perkembangan sama, Pengerusi Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Negeri Perak (1986) Cawangan Daerah Kinta, Zahari Abd Murad berkata, anggaran 200 peniaga di Daerah Kinta hilang mata pencarian disebabkan pandemik ini.
"Walaupun ada dalam kalangan peniaga yang cuba menjalankan perniagaan secara dalam talian namun pendapatan yang diperoleh tidak sama seperti sebelum ini.
"Justeru, kita berharap ramai pihak tampil untuk membantu peniaga-peniaga yang semakin dihimpit kesusahan ini," jelasnya.
10 persatuan yang menerima sumbangan pada hari ini Persatuan Penjaja-Penjaja Kecil Melayu Pasar Malam Bergerak Melayu Kinta; Persatuan Penjaja dan Peniagaan Kecil Bandaraya Ipoh; Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Perkasa Negeri Perak; Pertubuhan Peniaga-Peniaga Kecil Kinta; Persatuan Pasar Pagi dan Pasar Malam Ipoh; Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh Perak; Persatuan Pejaja-Penjaja Kecil Melayu Negeri Perak (1986) Daerah Kinta; Jawatankuasa Surau AR Rahmaniah Taman Desa Aman, Rukun Tetangga Rapat Setia/Hillview dan Persatuan Kebajikan Penduduk Kawasan Lengkok Meru Permai.
