Lelong baju pengantin kembalikan wang pelanggan
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 783
IPOH - Penularan wabak Covid-19 yang telah memberi kesan kepada pengusaha perniagaan butik pengantin di negeri ini sejak setahun lalu kini bertambah teruk.
Antara yang terkesan ialah Nur Idayu Zainal Rashid, 35, apabila terpaksa membuat keputusan melelong koleksi pakaian pengantin yang ada sebagai jalan akhir bagi menampung keperluan dia sekeluarga.
Ujar pemilik Wahyu Catering & Event Planner ini, perniagaannya mula terkesan sejak Mei tahun lalu apabila banyak tempahan pelanggan terpaksa dibatalkan.
Katanya, dia yang sebelum ini mengusahakan katering membuka butik pengantin dua tahun lalu berikutan kerap mengelolakan majlis-majlis perkahwinan.
“Ada kira-kira 30 pasang baju pengantin kerana saya baru membuka butik pengantin dua tahun lalu, malangnya pandemik Covid-19 menyebabkan banyak rancangan tergendala.
“Hasil lelongan pakaian ini nanti akan digunakan untuk membayar pinjaman bank termasuk memulangkan deposit pelanggan yang membatalkan majlis sepanjang tahun lalu. Banyak lagi yang belum selesai dipulangkan,” luahnya ketika ditemui di butiknya semalam.
Wahyu Catering & Event Planner juga merupakan satu-satunya pengusaha butik pengantin di Ipoh yang menganjurkan majlis pernikahan beramai-ramai dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak pada tahun 2019 dan 2020.
Selain pengusaha butik pengantin, perniagaan itu juga turut memberi kesan kepada pihak-pihak yang berkaitan seperti jurufoto, penyedia khemah dan audio.
Kata Nur Idayu, keputusan menjual koleksi pakaian pengantin itu juga adalah jalan terbaik memandangkan perniagaan tersebut dijangka akan terus suram berikutan larangan penganjuran sebarang acara sosial.
“Saya akan lelong set lengkap pakaian ini pada harga antara RM250 hingga RM500 sahaja. Kebanyakannya cuma pernah dipakai sekali sahaja, jadi keadaannya masih baik.
“Ini juga peluang bagi bakal pengantin mendapatkan baju pengantin untuk dibeli dan disimpan sebagai kenang-kenangan hari bahagia mereka,” ujarnya yang boleh dihubungi pada talian 012-5913551.