Pasukan Kongsi Rezeki agih sayur, barang basah
- Details
- Komuniti
- Hits: 1018

IPOH - Lebih 300 keluarga termasuk warga asing di Flat Panorama Lapangan Perdana dan Flat Bercham menerima sumbangan barangan basah serta sayur-sayuran daripada Pasukan Kongsi Rezeki dalam usaha meringankan beban yang dialami sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.
Pasukan Kongsi Rezeki ini membabitkan The Bojen Car Wash and Spa; Kedai Emas Rozita dan Azno Catering Sdn Bhd.
Pada program kali ini, pasukan berkenaan turut dibantu 10 ahli daripada Kelab BadDad MG Malaysia (Perak) iaitu pemilik-pemilik motosikal berkuasa tinggi jenama Harley Davidson.
Pengurus The Bojen Car Wash and Spa, Mohd Salorwadi Mohd Nor berkata, sebanyak 200 kilogram (kg) ikan bawal, gelama dan keli; 200 ekor ayam; 1,500 kg sayuran pelbagai jenis termasuk barangan kering seperti bihun, mi segera dan mi kuning diagihkan kepada penduduk di kedua-dua flat tersebut.
Menurutnya, sumbangan tersebut menyasarkan golongan yang terkesan akibat pelaksanaan PKP 3.0 berikutan penularan pandemik Covid-19.
"Kami sentiasa cakna akan nasib rakyat yang terjejas termasuk terputus bekalan disebabkan masalah kewangan dan mereka yang mengalami kesempitan hidup.
"Sehubungan itu, sumbangan pada hari ini adalah satu perkongsian daripada kami, usahawan kecil untuk membantu masyarakat yang memerlukan tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama," ujarnya kepada Peraktastic, hari ini.

Beliau turut mengajak rakan-rakan usahawan lain untuk sama-sama berkongsi rezeki untuk menghulurkan bantuan dalam bentuk apa sekali pun.
"Program seperti ini tidak akan terhenti di sini malah akan diteruskan dari masa ke masa melibatkan beberapa lokasi berbeza bagi memastikan golongan terkesan di sekitar Ipoh dapat dibantu," jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Panaroma Lapangan Perdana, Ashraf Ali Yusoff berkata, terdapat 900 rumah membabitkan Blok A hingga I di flat berkenaan.
"Berikutan itu, kita mengambil pendekatan dengan menyediakan sistem token supaya agihan bantuan dapat diberikan secara sama rata kepada penduduk," jelasnya.

Seorang penerima sumbangan, Meor Azrul Zulkifli, 40, berkata, dia dan isteri hilang punca pendapatan selepas kilang mereka tidak dibenarkan untuk beroperasi sejak dua bulan lalu.
"Saya bersama isteri dan anak terpaksa menggunakan wang simpanan yang ada untuk meneruskan kehidupan harian.
"Sumbangan barangan basah dan sayur ini amat berharga untuk kami tiga beranak. Alhamdulillah dan terima kasih kepada Pasukan Kongsi Rezeki yang tampil membantu pada hari ini," ujarnya.
