MBI, Econsave terus bantu golongan miskin bandar
- Details
- Komuniti
- Hits: 702
IPOH – Kepayahan hidup lima sekeluarga mendapat perhatian Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Pasar Raya Econsave Cawangan Jelapang yang sekali lagi berganding bahu menyampaikan bantuan makanan di Bandar Baru Putra Fasa Pertama, di sini, hari ini.
Pemberian bantuan makanan ini adalah usahasama MBI dan Econsave di bawah program MBI Prihatin yang dijalankan dari semasa ke semasa bagi menyantuni golongan memerlukan.
M Letchimy, 53, berkata dia terpaksa berhenti kerja selepas mengalami strok kira-kira tiga tahun lalu.
“Sebelum ini, saya bekerja di klinik pergigian namun berhenti selepas diserang strok pada tahun 2018.
“Suami pun sudah tidak bekerja apabila kilangnya terpaksa ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Dia berkata, kehidupan mereka sekeluarga diuji apabila anak perempuannya menghidap penyakit jantung berlubang dan perlu berulang alik ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk mendapatkan rawatan.
“Setakat ini, kami tidak menerima bantuan daripada mana-mana pihak dan hanya bergantung kepada sumber pendapatan diperoleh salah seorang anak yang baru sahaja bekerja.
“Bantuan makanan yang disumbangkan ini amat besar nilainya bagi kami sekeluarga. Terima kasih diucapkan kepada Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud dan Econsave atas pemberian ini,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Majlis MBI Zon 1 (Hulu Kinta), Datuk Mazlan Abd Rahman berkata melalui program MBI Prihatin, pihaknya akan menyumbang setakat yang termampu dan akan terus membantu terutamanya golongan miskin bandar di Ipoh.
“Saya dimaklumkan Datuk Bandar berhubung kesusahan yang dialami keluarga tersebut dan mengambil tindakan segera untuk menyelesaikannya.
“Ini menunjukkan Datuk Bandar amat mengambil berat terhadap kebajikan warga Ipoh,” katanya stok bantuan makanan itu dijangka mampu menampung keluarga tersebut selama dua bulan.
Hadir sama, Ketua Jabatan Econsave Cawangan Jelapang, Mohd Khairizul Kamaludin.