MPT tawar lesen penjaja cuma RM15 sebulan
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 953
TAIPING - Majlis Perbandaran Taiping (MPT) akan mengeluarkan lesen perniagaan secara bulanan kepada penjaja dan peniaga kecil dengan bayaran hanya RM15 sebulan.
Inisiatif mengenakan caj sedemikian sebagai tanda prihatin dengan nasib rakyat yang terkesan disebabkan pandemik Covid-19.
Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohd. Zubir berkata, pengeluaran lesen itu akan bermula 1 Ogos ini.
Menurutnya, MPT telah mengedarkan borang permohonan kepada penjaja dan peniaga kecil kaki lima dan boleh dikembalikan kepada Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan MPT.
"Lesen ini hanya tertakluk kepada perniagaan yang dibenarkan sepanjang tempoh fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan penjaja bergerak.
“Bagaimanapun, tapak niaga hendaklah dikosongkan selepas aktiviti perniagaan tamat dan tiada sebarang struktur ditinggalkan di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Penuh MPT secara dalam talian di sini.
Dalam pada itu, pemohon juga perlu memastikan lokasi yang dipohon hendaklah sesuai dan tidak menimbulkan halangan lalu lintas serta kacau ganggu kepada persekitaran.
Khairul Amir, turut mengingatkan penjaja dan peniaga kecil agar mematuhi peraturan dan syarat yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Begitu juga dengan arahan daripada pihak pengurusan MPT yang akan dikeluarkan dari semasa ke semasa.
"Mereka juga perlu menjaga kebersihan tapak perniagaan dan kawasan persekitaran," ujarnya.