IPOH – Jambatan Sungai Kledang sepanjang 100 meter yang ditutup akibat kekerapan hujan sehingga menyebabkan rebak sejak September tahun lalu, dibuka semula hari ini.

Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 16 (Tebing Tinggi), Datuk Ahmad Hariri Kamarudin berkata, jambatan yang bernilai RM1.7 juta ini mengambil masa kira-kira 36 minggu untuk disiapkan.

Menurutnya, jambatan antara Jalan Kampung Kuala Pari Hilir ke Kampung Kuala Pari yang turut menghubungkan Tiara Lake, Menglembu dan Pengkalan itu telah mengalami kerosakan kecil sejak Ogos tahun lalu sebelum kerja pembaikan dilakukan.

“Bagaimanapun, hujan lebat pada bulan September (tahun lalu) menyebabkan air naik terlampau banyak sehingga menyebabkan jambatan itu rebak teruk dan rosak.

“Justeru, saya bersama jurutera dari MBI dan Konsesi Puncak Emas Infra Sdn Bhd (PEISB) merancang serta mereka bentuk semula jambatan tersebut selama satu bulan setengah sebelum kerja-kerja naik taraf dijalankan bermula 16 November tahun lalu,” katanya ketika ditemui Peraktastic, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan secara ringkas pembukaan semula jambatan tersebut yang turut dihadiri Pengarah Kejuruteraan MBI, A’zman Mohd Harun dan Pengurus Seksyen Ipoh (PEISB), Ir Zainal Othman.

Dalam perkembangan berkaitan, A’zman berkata, pelbagai kekangan terpaksa ditempuhi sepanjang pembinaan jambatan itu.

“Memandangkan kerja-kerja naik taraf berlaku sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita terpaksa berhadapan dengan beberapa masalah antaranya termasuklah kesukaran untuk mendapatkan bahan-bahan binaan.

“Akhirnya, masalah itu dapat diselesaikan dan jambatan ini siap sepenuhnya serta selamat digunakan oleh penduduk,” katanya yang memaklumkan pihaknya menggunakan teknik terbaik dan selamat dalam pembinaan jambatan tersebut iaitu menggunakan konsep pintu gerbang.

Sementara itu, Bilal Masjid Idris Shah, Zakaria Abdullah, 63, berkata, pembukaan semula jambatan ini amat melegakan penduduk khususnya yang menetap di Kampung Kuala Pari Hilir.

Dia yang lebih 30 tahun tinggal di kampung berkenaan berkata, sepanjang penutupan jambatan itu, penduduk kampung serta orang luar yang sering menggunakan laluan tersebut terpaksa melalui jalan jauh.

“Sebelum ini, kita hanya mengambil masa antara lima ke enam minit untuk ke lokasi berhampiran, namun apabila jambatan itu ditutup masa yang diperuntukkan boleh mencapai sehingga 20 ke 30 minit untuk ke lokasi yang sama.

“Sehubungan itu, saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Majlis, MBI dan PEISB yang berjaya menyiapkan jambatan ini walaupun perlu berhadapan dengan pelbagai kesukaran sepanjang kerja menaik taraf dijalankan,” ujarnya.