Lebih 30 pesakit terlantar, OKU terima suntikan di rumah sekitar DUN Hulu Kinta
- Details
- Komuniti
- Hits: 923

IPOH - Lebih 30 orang awam terdiri daripada pesakit terlantar, warga emas uzur dan golongan orang kurang upaya (OKU) sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta telah menerima suntikan vaksin dos pertama melalui Program Pemberian Vaksinasi Outreach Unit Bergerak Vaksinasi Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta.
Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 1 (Hulu Kinta), Datuk Mazlan Abd Rahman mengesyorkan supaya penduduk di sekitar DUN Hulu Kinta dan Parlimen Tambun yang mempunyai masalah kesihatan dan tidak mampu untuk bergerak ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk memohon mendapatkan suntikan vaksinasi di rumah.
"Sehubungan itu, melalui program outreach yang dijalankan ini sedikit sebanyak dapat menolong mereka yang benar-benar memerlukan dan secara tidak langsung membantu misi kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok dengan segera.
"Kita amat berterima kasih kepada Klinik Briged Utara PGA yang bertungkus lumus menjalankan pemberian vaksinasi kepada orang awam dari rumah ke rumah sejak tiga minggu lalu," katanya ketika ditemui Peraktastic, hari ini.
Sementara itu, Pegawai Kebajikan Briged PGA Sub Inspektor Saidu Kenchi Mohamad berkata, pihaknya dijangka akan meneruskan program tersebut sehingga Oktober ini.
"Hampir 100 peratus warga PGA Ulu Kinta termasuk kontraktor dan peniaga kedai runcit telah lengkap vaksinasi dos pertama.
"Kita juga telah menerima bekalan vaksin daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan jika pemberian dos kedua vaksin kepada warga PGA Ulu Kinta selesai, mungkin kita akan membuka pemberian dos vaksin kepada orang awam," jelasnya.
Terdahulu, Mazlan bersama-sama mengikuti vaksinator Klinik Briged Utara PGA yang menjalankan tugas pemberian vaksin kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan termasuk warga emas di Tambun dan Kampung Cik Zainal, Chemor.
