60 penduduk Kampung Tersusun Batu 8 jalani ujian calitan
- Details
- Komuniti
- Hits: 1299

IPOH - Kira-kira 60 penduduk di Kampung Tersusun Batu 8, Ulu Kinta menjalani ujian saringan Covid-19 di Taska Permata Kemas di sini, hari ini.
Tinjauan Peraktastic mendapati, penduduk mula hadir seawal jam 3.30 petang bagi menjalani ujian saringan tersebut.
Seramai 12 anggota kesihatan ditugaskan dalam melakukan ujian saringan ke atas penduduk terbabit.
Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 1 (Hulu Kinta) Datuk Mazlan Abd Rahman berkata, ujian saringan itu diadakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 setelah terdapat beberapa kes positif membabitkan penduduk di kawasan berkenaan.
"Hari ini kita mengambil langkah drastik dengan melakukan swab test (ujian calitan) bagi mencegah wabak tersebut dari terus merebak dalam kalangan penduduk setempat.
"Kita bekerjasama dengan Unit Kawalan Infeksi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta dan ujian ini dilakukan secara bersasar," jelasnya yang turut menyediakan makanan dan minuman kepada anggota kesihatan bertugas.
Berikutan itu, beliau berharap semoga ujian saringan tersebut berjalan lancar dan berdoa agar tidak ada dalam kalangan penduduk yang dijangkiti wabak tersebut.
Hadir sama, Pengerusi Tabika Kemas dan Taska Permata Kampung Tersusun Batu 8, Azhar Ibrahim.
