IPOH - Masalah banjir kilat dihadapi penduduk Laluan Usaha, Kampung Cik Zainal Tambahan Satu bakal berakhir apabila kerja-kerja naik taraf longkang di laluan itu dijangka siap sepenuhnya September ini. 

Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 1 (Hulu Kinta), Datuk Mazlan Abd Rahman berkata, projek pembinaan longkang dan jalan sepanjang 300 meter itu sudah pun dimulakan sejak Jun lalu oleh kontraktor yang dilantik MBI membabitkan peruntukan RM336,783.
 
Katanya, setiap kali hujan lebat, penduduk yang tinggal di laluan ini perlu berhadapan dengan masalah banjir kilat. 
 
"Bagaimanapun, masalah tersebut dijangka berakhir apabila longkang itu siap sepenuhnya.
 
"Melalui longkang baharu itu, air hujan yang sebelum ini bertakung dan tidak dapat menampung kapasiti berlebihan dijangka akan mengalir dengan baik ke Sungai Chemor. 
 
"Selain longkang, jalan baharu turut dinaik taraf di kawasan itu yang boleh memanfaatkan kira-kira 1,000 penduduk di sekitar kampung berkenaan," jelasnya. 
 
Beliau berkata demikian kepada Peraktastic selepas meninjau ke kawasan berkenaan hari ini. Hadir sama, Penolong Jurutera Kanan MBI (Bahagian Saliran), Mohd Sukhaile Mustafa dan Ketua Umno Bahagian Tambun Datuk Aminuddin Md Hanafiah. 
 
Mazlan turut mengucapkan terima kasih kepada Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud atas keprihatinan beliau dalam usaha mengatasi masalah banjir kilat di kawasan
berkenaan. 
 
 
Sementara itu, seorang penduduk, Nordin Ahmad, 56, berkata dia tinggal di kawasan tersebut sejak tahun 2013.
 
"Apabila hujan lebat, air di jalan hadapan rumah akan naik sehingga ke paras lutut. Mujur air tidak masuk ke dalam rumah. 
 
"Sehubungan itu, saya berharap selepas projek naik taraf ini siap sepenuhnya masalah banjir kilat ini tidak akan berulang kembali sampai bila-bila," ujarnya. 
 
Suri Rumah, Normah Mokhtar, 63, yang mendiami kawasan itu sejak tahun lalu sering bimbang akan keselamatan cucunya setiap kali pulang dari sekolah ketika hujan lebat. 
 
"Air akan naik sehingga ke paras pinggang cucu dan ini amat merisaukan saya. 
 
"Malah, setiap kali hujan lebat saya mula risau dan bersiap untuk berkemas kerana takut rumah akan dimasuki air," ujarnya. 
 
Dia amat bersyukur dan gembira apabila masalah yang dibimbanginya itu akan selesai dalam masa terdekat.