GOPENG – Sebanyak 1,100 pek barangan keperluan harian dan 1,100 papan telur telah diagihkan kepada penduduk di Bandar Pulai Jaya di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi memastikan kebajikan penduduknya dijaga.

Timbalan Ketua MCA Bahagian Gopeng, Cally Ting berkata, inisiatif tersebut digerakkan bersama sukarelawan Barisan Nasional (BN) Gopeng sebaik sahaja PKPD Bandar Pulai Jaya diumumkan Majlis Keselamatan Negara.

Menurut beliau, sebanyak 600 pek bantuan diagihkan pada Khamis lepas diikuti baki 500 pek lagi keesokan harinya.

“Dalam saat yang kritikal ini, BN Gopeng berganding bahu dan bergerak menghubungi kenalan peniaga masing-masing bagi membeli barangan dan makanan keperluan pada harga yang berpatutan.

“Agihan bantuan ini sebagai tanda prihatin pada penduduk-penduduk di kawasan tersebut dan pada masa yang sama memberikan suntikan moral kepada mereka,” ujarnya.

Lokaliti tersebut yang terletak dalam Mukim Sungai Raia dikenakan PKPD sejak 26 Julai lalu hingga 8 Ogos.

Kata Cally, penyertaan sukarelawan yang terdiri daripada para belia untuk membantu proses agihan itu juga membolehkan bantuan disampaikan dengan cepat.

“Kerja-kerja membungkus juga mengambil masa yang panjang, jadi tanpa penglibatan para sukarelawan memang tugas ini sukar untuk dilakukan.

“Setiap bungkusan bukan semata-mata bantuan makanan, tetapi juga cakna dan prihatin BN Gopeng terhadap kehidupan rakyat yang terkesan,” ujarnya.