Ahli Majlis MBI agih 400kg ikan kembung secara percuma
- Details
- Komuniti
- Hits: 645
IPOH - Rata-rata penduduk Kampung Kepayang Fair Park meluahkan rasa syukur dan gembira di atas inisiatif Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengagihkan 400 kilogram (kg) ikan kembung segar secara percuma pada hari ini.
Seorang penduduk, Noor Hayati Aznam, 39, berkata pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, dia sekeluarga terpaksa mencatu makanan disebabkan kekangan kewangan.
"Sebelum ini, kami sekeluarga berjimat untuk makan namun sekarang apabila kerajaan, MBI serta pelbagai pihak datang memberi sumbangan makanan, masalah itu telah berkurangan," kata ibu kepada lima orang anak itu.
Dia berkata, ikan kembung yang diterima pada hari ini akan dimasak untuk juadah makan tengah hari serta malam dan akan dinikmati bersama keluarganya.

Peniaga, Normah Abu Bakar, 53, berkata, dia hilang punca pendapatan selepas perniagaan menjual makanan ditutup sejak PKP dilaksanakan.
"Walaupun pendapatan terjejas ekoran pandemik Covid-19 namun saya bersyukur masih ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan kotak makanan serta barangan basah bagi membantu meringankan beban.
"Program pemberian barangan basah seperti ini sangat bagus dan perlu dilaksanakan sama ada seminggu sekali atau sebulan sekali untuk membantu mereka yang terjejas pendapatan akibat wabak tersebut," ujarnya.

Sementara itu, Ahli Majlis MBI Zon 9 (Kepayang), Norul Huda Ahmad Nator berkata, hari ini sebanyak 400 bungkus ikan kembung diagihkan secara percuma di Kampung Kepayang Fair Park, Taman Che Wan dan Gunung Lang.
Menurutnya, sebelum ini pihaknya pernah mengedarkan ayam melalui peruntukan Ahli Majlis namun bantuan itu terhad kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan tersebut.
"Selain barangan basah, kita juga menyumbangkan pek makanan asas kepada penduduk di Zon 9.
"Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud yang sudi membantu penduduk Zon 9 yang kurang berkemampuan," jelasnya kepada Peraktastic pada Sabtu.
Terdahulu, beliau mengedarkan ikan kembung tersebut kepada penduduk di kawasan berkenaan bersama Ahli Majlis MBI Zon 22 (Simpang Pulai) Datuk Mohd Nasri Shaari.