IPOH - Tiada akses internet di rumah atau peranti elektronik untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) boleh menyebabkan pelajar sekolah ketinggalan dalam pelajaran. 
 
Seorang suri rumah, V Kallidevi, 40, berkata dia mempunyai tiga anak yang masih bersekolah dan mereka terpaksa bergilir-gilir menggunakan telefon pintar miliknya bagi mengikuti kelas PdPR setiap hari. 
 
"Sejujurnya satu telefon tidak mencukupi untuk anak-anak saya mengikuti sesi PdPR. 
 
"Namun, saya tidak mampu membeli telefon pintar baru memandangkan pendapatan harian diperolehi suami yang bekerja sebagai buruh am hanya cukup untuk menampung keperluan harian sahaja," kata ibu kepada empat anak perempuan itu. 
 
Katanya, seorang daripada anak mereka, K Nivashini, 10, yang belajar di Sekolah Pendidikan Khas Ipoh memerlukan perhatian penuh kerana terdiri daripada golongan orang kelainan upaya (OKU) pekak dan bisu. 
 
"Jika ada satu lagi telefon pintar, saya boleh fokus dalam membantunya supaya dia tidak keciciran dalam pelajaran," jelasnya yang tinggal di Taman Berjaya, Tanjung Rambutan, di sini. 
 
Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Cawangan Tambun, K Dinesh berharap ada pihak tampil untuk membantu dengan memberikan sumbangan peranti serta akses internet kepada keluarga yang kurang berkemampuan untuk tujuan tersebut.
 
"Kita berharap masalah ini dapat diselesaikan segera supaya tiada pelajar yang terpinggir dalam pelajaran demi masa depan mereka," ujarnya. 
 
Beliau ditemui Peraktastic selepas menyampaikan sumbangan pek makan tengah hari percuma anjuran MIYC Cawangan Tambun dan Pasar Mini AV Mart Tanjung Rambutan kepada 100 penduduk sekitar Tanjung Rambutan yang terkesan ekoran pandemik Covid-19.