MUALLIM: Demi sifat kasihkan makhluk ciptaan Tuhan, seorang lelaki setiap hari bermotosikal mengelilingi pekan memberi makanan kepada kucing jalanan.

Saban hari kira-kira jam 7.00 pagi, Nasir Salaton, 67, dari Kampung Kurnia, Slim River mengelilingi pekan mencari kucing terbiar sebagai rutin hariannya.

"Kucing terbiar ini sudah mengenali bunyi motosikal saya dan pastinya akan menghampiri saya dengan manja.

"Saya membekalkan mereka dengan nasi yang digaulkan dengan ikan dari rumah. Naluri saya sering terusik melihat mereka makan dengan kelaparan.

"Kucing atau anjing pun hendak hidup juga, sama macam manusia yang perlukan makanan untuk hidup, jadi tidak salah kita berkongsi rezeki dengan haiwan yang juga makhluk ciptaan Tuhan," katanya.

Di samping itu, beliau juga turut membela kira-kira 20 ekor kucing di rumah yang kebanyakkannya dibawa balik oleh isterinya bila terjumpa berkeliaran di kawasan pekan dan perumahan.

Lebih menarik, kucing jiran yang bertandang ke rumah beliau pun terus menetap di rumahnya disebabkan sikap beliau yang kasihkan haiwan itu.

"Kalau saya tidak berbuat demikian, kucing-kucing ini mungkin mati kelaparan atau lebih menyedihkan mati akibat dilanggar kenderaan," katanya.