MBI, Mimbar Perak agih lebih 600kg ikan di Kampung Sungai Rokam
- Details
- Komuniti
- Hits: 821
IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan kerjasama Mukmin Bersaudara (Mimbar) Perak mengagihkan lebih 600 kilogram (kg) ikan kembung kepada penduduk sekitar Kampung Sungai Rokam secara pandu lalu di Jalan Belimbing, di sini, pagi ini.
Ahli Majlis MBI Zon 21 (Sungai Rapat) Abu Bakar Hussian berkata, setiap penerima memperolehi satu kilogram ikan kembung dan proses pengagihan selesai sepenuhnya dalam masa satu jam lebih.
Menurutnya, pada program itu, MBI menyumbangkan 200 kg ikan manakala selebihnya adalah hasil sumbangan daripada Mimbar Perak.
"Sambutan yang diterima amat baik memandangkan kita telah mengumumkan program tersebut di masjid serta mengedarkan risalah kepada penduduk sekitar kampung ini.
"Penduduk dilihat datang seawal 8 pagi untuk mengambil sumbangan dan ikan yang disumbangkan Mimbar Perak didatangkan segar dari Pantai Remis," katanya kepada Peraktastic, pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi Mimbar Perak, Mohd Safuan Abdul Rahim.
Beliau bersyukur dan gembira kerana dapat berkongsi rezeki serta melihat warga penduduk ceria menjadikannya lebih bersemangat untuk meneruskan usaha seperti ini.
"InshaALLAH kita bercadang untuk memberikan sumbangan ayam pada masa hadapan," katanya yang memaklumkan 20 petugas melibatkan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 21 dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Sungai Rokam terbabit dalam program pada hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Belia Abrar, Muhammad Syukri Alimar Shidi yang juga penduduk kampung berkenaan mengucapkan terima kasih kepada Ahli Majlis MBI yang sudi datang untuk menyampaikan sumbangan ikan segar kepada penduduk tempatan.
"Sumbangan ini adalah satu usaha yang baik dalam membantu masyarakat terutamanya bagi mereka yang terkesan dari segi ekonomi ekoran pandemik Covid-19," jelasnya.