Mohon doakan Siti Sarah
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 947
KUALA LUMPUR - Penyanyi, Siti Sarah Raisuddin dilaporkan masih dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas ditidurkan ekoran oksigen dalam badannya tidak stabil.
Bagaimanapun, menurut suaminya, Shuib menerusi satu hantaran di Instagram, tahap oksigen isterinya meningkat pagi ini berbanding malam semalam.
"Sarah sudah ditiarapkan dengan harapan oksigen dan paru-paru boleh bekerjasama.”
Demikian kata Shuib , 37, berkenaan keadaan terkini isterinya yang masih lagi bertarung nyawa dengan virus Covid-19.
Shuib meluahkan rasa terharu apabila setiap hari mendapat mesej dan kiriman gambar anak-anak tahfiz dan orang persendirian yang membaca Yasin dan doa selamat buat permaisuri hatinya.
“Saya terlalu terharu apabila dalam keadaan sekarang, ada saja orang hantar gambar anak-anak tahfiz baca Yasin.
“Terima kasih banyak sebab mendoakan Sarah. Ia satu rahmat terlalu besar untuk kami,” ujarnya.
Hampir 30 jam koma sejak dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sejak semalam, Shuib memberitahu, selain bahagian paru-paru yang terkesan, jantung Sarah juga berada dalam keadaan lemah.
Ujarnya lagi, harapan mereka sekarang agar paru-paru boleh kembali normal dan bekalkan oksigen dalam badan.
“Memandangkan Sarah kena jangkitan Covid-19, paru-paru dia banyak terkesan. Jantung pun sudah lemah.
"Mungkin sepanjang pembedahan mengeluarkan bayi semalam, jantung sudah banyak bekerja.
“Difahamkan juga, ada sedikit darah beku di paru-paru. Doktor kata, buat masa sekarang tak boleh apa-apa lagi sebab semalam baru lepas menjalani pembedahan,” katanya.