Siti Sarah kembali ke negeri abadi
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 928
KUALA LUMPUR - Penyanyi, Siti Sarah Raissuddin yang juga isteri kepada pelawak, Shuib meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di sini pagi tadi.
Siti Sarah, 36, yang dimasukkan ke hospital berkenaan sejak Rabu lalu akibat Covid-19 menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5.13 pagi.
Sebelum ini, penyanyi itu yang hamil lapan bulan terpaksa melalui proses pembedahan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih berisiko.
Dia kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HUKM selepas kesihatannya terus merosot.
Semalam, Shuib berkongsi keadaan isterinya yang kritikal apabila paras bacaan oksigen jatuh ke paras 40 peratus.
Terdahulu, ibu kepada empat cahaya mata itu belum sedarkan diri dan masih bertarung nyawa akibat Covid-19 selepas lebih 48 jam ditidurkan.
Siti Sarah terpaksa ditidurkan dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar, jam 5 petang pada Jumaat lalu.
Pemergian Siti Sarah yang bertarung nyawa akibat Covid-19 mengejutkan banyak pihak.
Antara yang memuat naik ucapan takziah ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau tadi.
“Takziah kepada keluarga Siti Sarah Raisuddin dan kepada semua ahli keluarga rakyat Malaysia yang telah terkorban akibat Covid-19, Al Fatihah,” tulisnya ringkas.
Sementara itu, ucapan takziah atas pemergian Siti Sarah turut dirakamkan individu berpengaruh lain antara pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun dan Ebit Lew.
Menurut Asma, beliau meminta orang ramai untuk mendoakan Siti Sarah dan seluruh umat Islam yang telah meninggal dunia agar mendapat keampunan dan rahmat Allah.
Ebit Lew pula mendoakan agar Shuib dan anak-anak akan bersama Siti Sarah di syurga kelak.
“Siti sarah banyak kali bertanya untuk bayarkan sewa beberapa rumah orang miskin yang saya uruskan dan anak yatim saya bantu sekolahkan, semoga Allah beri syurga firdaus buatnya,” jelasnya.