MBI sedang memperhalusi kajian Walkablecity Kawasan Khas Pekan Ipoh
- Details
- Komuniti
- Hits: 1130
IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam proses memperhalusi kajian Walkablecity Kawasan Khas Pekan Ipoh selaras untuk menjadikan bandar raya ini sebagai Bandar Pelancongan Warisan dan Rendah Karbon pada masa hadapan.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, lima kawasan kajian meliputi keluasan 577 ekar telah dikenal pasti dan dibahagikan mengikut zon mengikut karakter masing-masing.
"Kawasan kajian yang telah dikenal pasti adalah Zon A, Taman D R Seenivasagam; Zon B, Pekan Lama Ipoh; Zon C, Sungai Kinta; Zon D, Pekan Baru Ipoh dan Zon E, Greentown.
"Kajian itu dilaksanakan bagi membantu dalam penyediaan laporan dan pelan cadangan bagi kawasan-kawasan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap secara maya pada Sesi Townhall Kajian Walkable City Kawasan Pekan Lama Ipoh Selaras Bandar Warisan Pelancongan dan Bandar Rendah Karbon bagi Bandar Raya Ipoh dan Projek Ipoh Park And Ride baru-baru ini.
Menurutnya, antara objektif kajian itu dilaksanakan adalah untuk menambah baik kawasan persekitaran dengan menyediakan kemudahan laluan pejalan kaki sepanjang 19.6 kilometer (km) dan laluan basikal yang kondusif sepanjang 0.6 km, mencukupi dan berkesinambungan bagi meningkatkan aksesibiliti dan mobiliti alternatif kepada komuniti setempat.
"Selain itu, kita akan mengekalkan nilai warisan bandar di samping menyokong pertumbuhan pembangunan yang mementingkan alam sekitar, teknologi hijau dan rendah karbon bagi meningkatkan nilai tambah dan daya tahan bandar.
"Pada masa sama, kita berharap dapat menghidupkan semula dengan merancakkan aktiviti ekonomi dan meningkatkan interaksi masyarakat dengan persekitaran," ujarnya.
Katanya, kajian tersebut adalah sebagai salah satu inisiatif sokongan kepada Ultra Low Emission Zone (ULEZ) seperti yang telah dicadangkan dalam Laporan Interim Bandar Rendah Karbon Ipoh.
"Di akhir kajian, terdapat dua hasil yang akan dikeluarkan iaitu dokumen rujukan dan pelan induk yang mengandungi illustrasi, reka bentuk dan keperluan kemudahan bagi laluan mobiliti aktif," jelasnya.