IPOH - Penderitaan Hasmi Ahmad, 57, akibat strok sejak tiga bulan lalu mendapat perhatian Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Pasar Raya Econsave, di Jalan Cenderawasih, Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2, di sini, hari ini. 
 
Ahli Majlis MBI Zon 4 (Manjoi), Syed Mohd Nor Hisam Syed Hassan bersama Pengurus Econsave Cawangan Jelapang, Shah Effendy Rosman tampil menghulurkan sumbangan makanan dan wang tunai. 
 
Hadir sama, Ketua Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan, Ishak Sani. 
 
Hasmi yang pernah memegang jawatan Pegawai Waran 2 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan menamatkan perkhidmatan pada tahun 2002 itu diserang strok lima hari sebelum menyambut perayaan Aidilfitri. 
 
Isterinya, Nor Azian Shariff, 50, berkata sejak suaminya diserang strok di bahagian kanan badan pergerakannya agak terbatas. 
 
"Selain strok, suami juga menghidap penyakit kencing manis," katanya kepada Peraktastic pada Selasa.  
 
Katanya, buat masa ini suaminya menjalani rawatan fisioterapi di sebuah klinik swasta dan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). 
 
"Kini kami sedang menunggu panggilan daripada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk mendapatkan tarikh pembedahan bagi mengeluarkan salur darah yang tersumbat di bahagian leher suami," jelasnya. 
 
Dalam perkembangan berkaitan, Nor Azian turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang sudi menghulurkan sumbangan serta prihatin atas nasib yang menimpa suami. 
 
"Ini adalah kali pertama kami menerima bantuan daripada pihak luar. Sebelum ini, cuma anak-anak sahaja yang membantu kami serba sedikit, untuk menampung kehidupan harian. 
 
"Saya berdoa dan berharap suami akan sembuh dengan cepat dah boleh bergerak semula seperti biasa," kata ibu kepada tujuh orang anak itu.