Sediakan SOP makan di kedai
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 908
IPOH - Pihak berkuasa digesa menyediakan peraturan bagi pengusaha restoran dan kedai makan sebagai panduan untuk menerima pelanggan makan di kedai.
Ini termasuklah memastikan semua pekerja kedai makan telah menerima vaksinasi lengkap bagi mewujudkan komuniti selamat.
Pemilik Konda Kondi Cafe & Bistro, Azril Aryandi berkata, peraturan operasi itu penting sebagai panduan termasuk tatacara berurusan dengan pelanggan.
Katanya, bagaimanapun kebenaran menerima pelanggan yang telah lengkap dua dos vaksin untuk makan di kedai disambut baik.
"Cuma, tanpa peraturan susah untuk kami kerana tidak jelas apa yang boleh dan tidak.
"Pekerja kafe saya misalnya masih belum menerima vaksin, jadi jika proses vaksinasi dapat disegerakan kerana ini juga penting," ujarnya kepada Peraktastic.
Buat masa ini kafe hipster terkenal yang terletak di Jalan Sultan Idris Shah di sini kekal beroperasi dengan menerima pesanan secara dalam talian dan menggunakan khidmat penghantaran.
Beritahu Azril lagi, sebarang keputusan untuk membuka kafe itu kepada pelanggan juga akan diteliti dalam sedikit masa untuk melihat kesesuaian.
Sementara itu, pemilik D'Sudu Garfu Cafe di Bandar Meru Raya, Nizam Baharuddin berkata, beberapa peraturan tambahan akan diambil bagi pelanggan yang datang makan di kedai.
Katanya, langkah-langkah tersebut hanyalah sebagai tambahan kepada aturan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
Menurut beliau, pelanggan wajib memakai pelitup muka, membasuh tangan di luar menggunakan sabun sebelum masuk dan duduk di tempat yang disediakan di dalam atau luar kafe.
"Pelitup muka hanya dibuka semasa makan. Kita membuka sembilan meja sahaja daripada kapasiti iaitu 20 meja dengan jarak antara dua hingga tiga meter.
"Pelanggan juga tidak boleh berada lama di dalam kafe,, sebaliknya hanya pesan, menunggu makanan, nikmati sajian lalu meninggalkan kafe selepas makan," ujarnya.
Kata Nizam, proses pembayaran hanya dibuat di meja pelanggan dan bukan di kaunter bayaran sama ada secara tunai atau bayaran dalam talian.
Manakala proses sanitasi menggunakan semburan pembasmi kuman akan dilakukan setiap kali pelanggan meninggalkan premis.
"Kebenaran untuk pelanggan makan di dalam kedai ini disambut baik kerana ia sebagai langkah menyuntik kembali ekonomi," ujarnya.