IPOH - Penghuni dua buah rumah di Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2 di sini berdepan dengan detik cemas apabila kediaman tersebut terbakar dalam kejadian pagi tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.45 pagi.

Katanya, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dikerah ke lokasi kejadian.

"Setiba di tempat kejadian, kebakaran melibatkan dua buah rumah teras kelas B yang terbakar 70 peratus.

"Tindakan pedaman terus dilakukan menggunakan air daripada sumber pili bomba," ujar jurucakap tersebut.

Kerja-kerja pemadaman turut dibantu anggota dan jentera BBP Simpang Pulai, BBP Pasir Puteh serta sukarelawan bomba Pekan Baru dan Menglembu.

Operasi yang diketuai PBK II Mohd. Zaid Abd. Aziz masih diteruskan.