MBI akan bantu MOVAK percepat proses suntikan vaksin
- Details
- Komuniti
- Hits: 736

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedia memberi kerjasama kepada semua pihak yang terbabit dalam program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) bagi mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada warga Ipoh sekali gus meningkatkan kadar vaksinasi Covid-19 di negeri Perak.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, setakat ini MBI sudah bersetuju untuk melaksanakan program MOVAK di beberapa kawasan sekitar bandar raya Ipoh dalam masa terdekat.
Menurutnya, Gugusan Manjoi akan menjadi lokasi seterusnya bagi menjalankan program tersebut.
"Kita akan minta kerjasama melalui kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah Daerah Kinta untuk buat program ini di seluruh bandar raya dan MBI sentiasa memberi kerjasama mengikut kemampuan," katanya kepada Peraktastic pada Jumaat.
Beliau ditemui sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Medan Klebang Restu, Chemor yang turut menjadi lokasi program MOVAK.
Seramai 2,600 penduduk Medan Klebang Restu dan kawasan berhampiran menerima suntikan vaksin dos pertama pada program yang dijalankan selama dua hari bermula hari ini.
Rumaizi berkata, setakat ini sebanyak 27 peratus warga bandar raya Ipoh yang telah lengkap dua dos vaksinasi.
"Justeru, kita berharap sasaran 40 peratus penduduk di bandar raya Ipoh lengkap dua dos suntikan vaksin tercapai dengan adanya program seumpama ini," ujarnya.
Sementara itu, Ahli Majlis MBI Zon 5 (Manjoi), Datuk Azizul Kama Abd Aziz berkata, program MOVAK ini diadakan selepas Medan Klebang Restu menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 25 Julai hingga 8 Ogos lalu.
"Berikutan itu, kita menyeru supaya program ini diadakan di kawasan PKPD yang lain agar sasaran untuk mencapai imuniti berkelompok dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat," ujarnya.
Hadir sama, Pegawai Daerah Kinta, Meor Hezbullah Meor Abd Malik dan Pengerusi Masjid Jamek Medan Klebang Restu, Mohd Khair Napiah.
