Kompleks Menara Condong ditutup elak jangkitan Covid-19
- Details
- Sheqal Danish
- Komuniti
- Hits: 854
TELUK INTAN - Kompleks Menara Condong di sini telah diarahkan tutup oleh Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) selama 10 hari sehingga 21 Ogos ini bagi kerja-kerja sanitasi.
MPTI dalam satu kenyataan memberitahu, ini berikutan kompleks berkenaan telah dikenalpasti sebagai kawasan berisiko tinggi jangkitan Covid-19.
"Arahan ini bertujuan untuk membendung penularan jangkitan Covid-19 di kawasan ini. Penutupan tersebut selaras dengan Akta Pencegahan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.
"Sehubungan itu semua pemegang lesen dan pemilik premis hendaklah mematuhi penguatkuasaan arahan atau boleh dikenakan tindakan undang-undang," ujar kenyataan tersebut.
Sementara itu, kerja-kerja sanitasi telah dilakukan oleh petugas MPTI semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, sesiapa yang telah berkunjung ke Kompleks Menara Condong diminta mengemaskini maklumat kepada pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hilir Perak.
PKD Hilir Perak dalam satu kenyataan memberitahu, mereka hendaklah melengkapkan borang penilaian risiko yang boleh diakses menerusi pautan pada laman Facebook pusat tersebut.
"Sekiranya anda pekerja, penghuni atau pengunjung Kompleks Menara Condong sila lengkapkan borang penilaian risiko https://tinyurl.com/KompleksMC
"Jika anda sudah mempunyai gejala sila dapatkan pemeriksaan segera," ujar kenyataan itu.
PKD Hilir Perak turut memaklumkan bahawa satu kluster jangkitan terbaru dikesan melibatkan sebuah pusat jagaan yang terletak di Taman Retna, Jalan Manggis di sini.
Sehingga semalam, sebanyak 15 kes baharu direkodkan dengan jumlah kes keseluruhan adalah sebanyak 18 kes.
Sehubungan itu, mana-mana warga emas berusia 60 tahun ke atas boleh mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 secara datang terus ke pusat pemberian vaksin terdekat.