1,159 Orang Asli daerah Batang Padang positif Covid-19
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Komuniti
- Hits: 1092
IPOH- Seramai 1,159 Orang Asli dalam daerah Batang Padang telah dijangkiti COVID-19 dan 12 notifikasi kematian telah dilaporkan setakat ini.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKNP) semalam susulan kenyataan berita di laman sesawang pada 12 Ogos 2021 melaporkan seramai 784 Orang Asli di Batang Padang telah dijangkiti COVID-19 dan 8 kematian.
Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dato’ Dr Ding Lay Ming berkata punca jangkitan bermula dari Orang Asli yang bekerja di kilang dan telah mewujudkan kluster COVID-19 seterusnya merebak ke komuniti masing-masing.
“Tindakan kawalan jangkitan dijalankan melalui pengasingan dan rawatan di Pusat Kuarantin Risiko Rendah COVID-19 (PKRC) Sungkai khas bagi pesakit COVID-19 dalam kalangan Orang Asli. Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi 24 buah kampung terlibat telah dilaksanakan.
“Selaras dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), sehingga tarikh 13 Ogos 2021 vaksinasi dos pertama telah diberi kepada seramai 10,221 orang atau 45.5% dari Orang Asli kampung pinggiran di seluruh Perak.
“Sasaran 80 peratus warga dewasa Orang Asli pinggiran negeri Perak menerima sekurang-kurangnya 1 dos vaksin dijangka akan dicapai pada akhir bulan Ogos 2021,” ujarnya.