IPOH - Seramai 50 orang pelajar tingkatan lima daripada keluarga asnaf di daerah Selama menerima tablet sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIPk) baru-baru ini.

Sumbangan menerusi Pusat Zakat MAIPk itu bagi memudahkan para pelajar tersebut mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian.

Pusat Zakat MAIPk dalam satu kenyataan memberitahu, turut menerima sumbangan sama ialah sembilan pelajar yang mendapat tajaan dermasiswa MAIPk.

Menurut kenyataan tersebut, penggunaan gajet sangat penting dan Pusat Zakat MAIPk memainkan peranannya dalam agihan dana zakat berkaitan pendidikan.

"Sistem pendidikan segera berubah sebaik pendamik Covid-19 melanda, justeru semua pihak mengambil peranan masing-masing dalam memikir dan menangani keperluan asas alat pembelajaran.

"Sehubungan itu, dalam bajet Dana Khas Bantuan Semasa PKP 3.0. telah dimasukkan pakej tablet ini selain daripada bantuan tunai kepada ketua keluarga yang layak," ujar kenyataan itu.

Pada Jumaat lepas pula, Pusat Zakat MAIPk turut menyampaikan sumbangan tablet kepada 119 pelajar dalam kalangan keluarga asnaf sekitar Muallim.

Kesemua penerima merupakan pelajar tingkatan lima dan enam yang bakal menduduki peperiksaan pada tahun hadapan.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Orang Besar Jajahan Muallim, Datuk Ir. Dr. Safry Kamal Ahmad.