TANJUNG MALIM - Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya mengumpul barangan yang diperlukan daripada orang ramai untuk disumbangkan kepada kontinjen Malbatt 850-9 Angkatan Tentera Malaysia.

Malbat 850-9 akan menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL) di Lubnan.

Sesi penyerahan dilakukan secara ringkas oleh Dekan FBK, Prof. Madya. Dr. Mazura@Mastura Muhamad kepada wakil pihak Malbatt 850-9 Mejar Muhammad Aidil Zali kelmarin.

Menurut Mazura, program Misi Kemanusiaan Lubnan FBK Prihatin 2021 dijalankan itu mendapat sambutan baik daripada warga UPSI mahupun orang awam.

Kataya, program itu julung-julung kali dianjurkan bersama dengan pihak kontinjen Malbatt 850-9.

“Program ini menggerakkan semua ahli jawatankuasa dalam kalangan pensyarah dan pelajar untuk membuat hebahan menggunakan media sosial secara meluas dan mendapat sambutan yang menggalakkan dari semua pihak,” ujarnya.

Sementara itu, Muhammad Aidil mengucapkan terima kasih bagi pihak Malbatt 850-9 dan memberitahu sumbangan yang dikumpulkan oleh FBK akan diserahkan kepada komuniti di kawasan Selatan Lubnan meliputi orang awam, hospital dan sekolah.

Beliau berkata, kehidupan penduduk di sana terjejas disebabkan kesan peperangan dan sangat memerlukan bantuan.

"Antara yang diperlukan seperti pakaian musim sejuk, lampin pakai buang kanak-kanak dan dewasa, tuala wanita, permainan kanak-kanak, set alat tulis, kerusi roda, tongkat orang dewasa dan brosur kesihatan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab,"