IPOH - Situasi pandemik menyukarkan lagi sepasang suami isteri yang sebelum ini telah melakukan pelbagai usaha bagi keperluan perbelanjaan untuk rawatan penyakit kanser anak mereka.

Natasha Mohamad Haszemi, 15, dari Kampung Sungai Rambutan, Rantau Panjang di Selama perlu menjalani pemindahan sel stem (stem cell) di Kuala Lumpur bagi menyelamatkan nyawanya.

Remaja ini dikesan menghidap kanser darah pada tahun 2015 tetapi telah dirawat sebelum sakitnya berulang pada Oktober lalu dan menjalani rawatan kimoterapi intensif sekali lagi.

Ibunya, Zaiton Awang 45, berkata, keserasian sel stem antara Natasha dan abangnya membolehkan rawatan ini dijalankan.

Namun katanya, memandangkan sumber kewangan dari suaminya, Mohd. Haszemi Mat Isa hanya bekerja kampung selain kesukaran untuk bekerja semasa pandemik.

"Setiap minggu Natasha harus menghadiri temujanji di Hospital Pulau Pinang sebelum memulakan rawatan transplan di Hospital Ampang yang dijadualkan pada 27 Ogos ini.

"Natasha juga bergantung kepada ubat-ubatan tetapi mujurlah dibiayai Majlis Kanser Negara," ujarnya.

Tempoh rawatan nanti akan mengambil masa selama empat bulan termasuk rawatan intensif  serta temujanji ulangan di hospital sama dua kali seminggu.

Dalam pada itu, keadaan Natasha mendapat perhatian Pengerusi Persatuan Sahabat Kanak Kanak kanser Wilayah Utara (FOCCAN), Maznah Tayib yang menziarahi serta menyampaikan sumbangan.

Masyarakat yang prihatin untuk membantu Natasha boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 158211717050 atas nama bapanya, Mohamad Haszemi Mat Isa.

Sebarang pertanyaan untuk membantu boleh dibuat dengan menghubungi pihak FOCCAN menerusi talian 016-5681 640.