IPOH – Penghantar makanan atau ‘rider’antara yang berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19 memandangkan mereka sering berhadapan dengan pelanggan pada setiap masa terutamanya sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menyedari hakikat itu, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA)  Ulu Kinta dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melalui program MBI Prihatin melaksanakan Program Vaksinasi Rider Foodpanda kepada 60 penghantar makanan di sekitar bandar raya Ipoh, hari ini.

Timbalan Komander Briged Utara PGA Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis berkata, setakat ini terdapat 200 penghantar makanan Foodpanda yang memohon untuk mendapatkan suntikan vaksinasi di PPV Klinik Briged Utara PGA Ulu Kinta.

Menurutnya, pemberian vaksin dos pertama itu akan dilakukan secara berperingkat iaitu 60 orang pada satu-satu masa.

“Kita akan melaksanakan pemberian vaksin ini mengikut kumpulan 60 orang pada satu masa sehingga selesai.

“Proses suntikan vaksin ini akan mengikut giliran. Siapa daftar awal, kita beri dahulu,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Program Vaksinasi Rider Foodpanda dan Mengibarkan Jalur Gemilang di PPV Klinik Briged Utara PGA Ulu Kinta, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud; Ahli Majlis MBI Zon 1 (Hulu Kinta) Datuk Mazlan Abd Rahman dan Pegawai Kebajikan Briged Utara PGA sub Inspektor Saidu Kenchi Mohamad.

Terdahulu, ‘rider’ Foodpanda bersama-sama kumpulan kereta yang dihiasi Jalur Gemilang berkonvoi dari Masjid An-Nur Batu 8, Tanjung Rambutan menuju ke PPV Klinik Briged Utara PGA Ulu Kinta.

Dalam perkembangan sama, Mohd Noh berkata, pihaknya menyasarkan kira-kira 300 penghantar makanan akan diberikan suntikan vaksinasi bergantung kepada permohonan yang diterima.

“Kita di PPV Klinik Briged Utara PGA Ulu Kinta mengalakkan penghantar makanan untuk mendapatkan suntikan vaksin dan kita juga berkemampuan untuk memberikan vaksin kepada mereka yang boleh dikategorikan sebagai ‘frontliner’,” jelasnya.

Sementara itu, Penyelaras Program Vaksinasi Covid-19 rider Foodpanda Ipoh, Azizal Naziri, 42, berkata pekerjaan penghantar makanan boleh diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi memandangkan mereka terdedah kepada wabak tersebut.

Dia berkata, ada dalam kalangan ‘rider’ Foodpanda menerima bayaran tunai daripada pelanggan yang tidak memaklumkan bahawa sedang dikuarantin menyebabkan mereka ini dijangkiti virus Covid-19.

“Sehubungan itu, kita akan teruskan bekerjasama dengan PGA Ulu Kinta supaya pemberian vaksin ini dapat diberikan kepada semua penghantar makanan demi keselamatan mereka.

“Selain itu, kita memohon agar syarikat e-hailing dapat menjaga kebajikan penghantar makanan serta memberi bantuan sewajarnya terutamanya sewaktu pandemik ini,” katanya yang memaklumkan terdapat lebih 1,000 pekerja Foodpanda di sekitar bandar raya Ipoh dan majoriti masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19.

Azizal berkata, setakat ini seramai 105 ‘rider’ sudah menerima suntikan vaksin dos pertama mulai semalam.

Satu-satunya ‘rider’ Foodpanda wanita dalam kumpulan tersebut, Jumalisa Baharudin, 39, mengucapkan terima kasih kepada pihak yang prihatin dalam memastikan penghantar makanan seperti mereka diberikan vaksinasi bagi melindungi diri masing-masing.

 “Sebelum ini, memang ada perasaan risau, namun tugas perlu dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, apabila sudah divaksin pada hari ini, saya berasa lebih selamat untuk keluar bekerja dan berhadapan dengan pelbagai jenis orang ramai,” jelasnya.