IPOH - Seramai 16 orang petugas Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menerima sijil penghargaan di atas penyertaan Program Pendaftaran Vaksinasi Daerah Kinta (PPVDK).

Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin@Md Daud berkata para petugas yang terlibat telah menyempurnakan tanggungjawab dengan baik menerusi program PPVDK pada 23 dan 30 Julai 2021 lalu di Rumah Pangsa Waller Court, Kinta Heights dan Taman Harmoni, Buntong.

“Melalui program itu, satu pasukan telah ditubuhkan bagi membantu melancarkan proses pendaftaran vaksinasi bagi penghuni-penghuni rumah pangsa milik MBI.

“Kita juga berpeluang membantu kerajaan negeri untuk mencapai sasaran imuniti berkelompok sepertimana yang telah dirangkakan,” katanya kepada Peraktastic selepas menyampaikan sijil tersebut di Dewan Mesyuarat MBI, hari ini.

Hadir sama Pengarah Kanan Perkhidmatan, Rohayah Abdul Kadir dan Pengarah Komuniti Bandaraya, Normala Latiff.

Pada masa yang sama Rumaizi turut menyampaikan surat Pelantikan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk kepada 30 Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk di Zon Ahli Majlis MBI.

Pelantikan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk itu bertujuan membantu merealisasikan hasrat menjadikan Bandaraya Ipoh Bersih, Hijau dan Maju.