IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) giat menjalankan kerja menaik taraf prasarana di Rumah Pangsa Taman Harmoni Buntong membabitkan peruntukan RM2.8 juta. 

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, peruntukan itu diperolehi daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan kerja menaik taraf bermula bulan ini. 
 
Menurutnya, kerja menaik taraf itu membabitkan tandas, bumbung, perparitan dan lain-lain lagi bagi memberi keselesaan kepada penghuni rumah pangsa di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu. 
 
"Setakat ini, kerja naik taraf di lima daripada 26 blok telah selesai pada tahun 2018 dan kerja-kerja bagi baki blok yang lain, sedang giat dijalankan. 
 
"Walaupun pelbagai infrastruktur dinaik taraf, kadar sewa rumah masih kekal RM150 seperti sebelum ini," katanya kepada Peraktastic hari ini. 
 
Beliau ditemui ketika meninjau perkembangan projek pembangunan MBI membabitkan longkang, jalan dan bangunan di sekitar bandar raya Ipoh. 
 
Antara kawasan yang dikunjungi termasuklah Kampung Kuchai, Jalan Bendahara, Taman Lapangan SSI dan Buntong. 
 
Hadir sama, Pengarah Kejuruteraan MBI, A'zman Mohd Harun; Pengarah Perancang Bandaraya MBI, Mohd Zainal Abdul Hamid dan Ketua Penolong Pengarah Kejuruteraan Kerja dan Operasi MBI, Arif Mohd Zainudin. 
 
Dalam perkembangan berkaitan, Rumaizi berkata penduduk di rumah pangsa terbabit memberikan kerjasama baik sepanjang kerja-kerja tersebut berlangsung. 
 
"Sepanjang kerja naik taraf dilaksanakan, tiada masalah dihadapi kecuali ada dalam kalangan penduduk yang perlu dikuarantin akibat Covid-19. Selain itu, kekangan untuk mendapat bahan binaan juga antara cabaran sepanjang menjalankan kerja sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," ujarnya.