IPOH-Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) kesal terhadap beberapa kumpulan yang mempergunakan nama MBI untuk kepentingan sendiri.

Penolong Pengarah Kejuruteraan (Jalan), Izdihar Niszar Syafiq Sarlan berkata pihaknya menerima laporan orang ramai yang menyatakan MBI mengenakan bayaran di atas khidmat menurap tar di bahagian hadapan kediaman mereka.

“Kumpulan yang membuat kerja dari rumah ke rumah ini bukanlah dari kontraktor ataupun subkontraktor yang dilantik oleh MBI. Mereka adalah dari syarikat persendirian yang tidak diketahui status sebenarnya.

“MBI hanya menurap kawasan jalan raya (road carriageway) dan tidak termasuk bahagian hadapan (entrance) kediaman penduduk. Bagi meraih kepercayaan mereka menggunakan nama MBI dan meminta bayaran di atas perkhidmatan yang dilakukan.

Izdihar menambah, bagi memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap MBI, masyarakat haruslah faham bahawa penawaran perkhidmatan menurap, menjual tar dan pembayaran bukanlah dari MBI. Semua kerja menurap yang dilakukan oleh MBI tidak mengenakan sebarang bayaran sama sekali.

“Kumpulan ‘ulat-ulat’ ini datang secara berkumpulan di antara tiga atau empat orang dengan menaiki lori bersama muatan tar. Mereka juga akan membuat hebahan dari rumah ke rumah.

“Pihak MBI berharap orang ramai supaya berhati-hati terhadap kumpulan ini. Sekiranya mereka menggunakan nama MBI ianya satu dikesalahan seterusnya memburukkan imej MBI,” katanya.