IPOH - Seramai 250 ahli kariah Masjid Abdul Rahman Auf (Maaruf) termasuk keluarga mereka menerima suntikan vaksin dos pertama melalui program Pemberian Vaksinasi Outreach yang dilaksanakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di masjid tersebut di Taman Rapat Koperasi, hari ini.
 
Pengerusi Maaruf Dr Khairudin Abd Malik berkata, program outreach itu adalah sebagai satu model bagaimana masjid boleh membantu mempercepatkan proses vaksinasi dalam kalangan ahli kariah dan keluarga mereka. 
 
"Pemeriksaan awal yang dijalankan sekitar minggu lalu mendapati seramai 60 peratus orang (ahli kariah) telah divaksin dan menjangkakan sama ada hari ini atau esok 100 peratus ahli jemaah masjid ini sudah divaksin (lengkap dos pertama vaksin). 
 
"Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada jemaah di sini kerana memberi kerjasama yang baik sepanjang program ini berlangsung sekali gus membantu merealisasikan hasrat kerajaan untuk mencapai imuniti berkelompok dalam tempoh terdekat," katanya kepada Peraktastic hari ini.
 
 
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim menyokong inisiatif tersebut memandangkan masjid adalah tempat yang paling baik untuk mengumpulkan jemaah. 
 
Katanya, bukan semua orang mampu ke PPV dan kemudahan ini membantu ahli jemaah mendapatkan  dengan cepat serta memudahkan mereka untuk menunaikan solat jemaah di masjid mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. 
 
"Saya difahamkan ini adalah kerjasama yang sangat baik dalam kalangan Ahli Jawatankuasa masjid dan kali pertama dilaksanakan di negeri Perak. 
 
"Pada masa sama, saya berharap masjid-masjid lain dapat meneruskan usaha yang sama dan berhubung dengan pihak yang melaksanakan program outreach seperti PPV Klinik Briged Utara bagi mempercepatkan program vaksinasi jemaah termasuk anggota keluarga masing-masing," jelasnya. 
 
Sementara itu, Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 1 PGA, Deputi Superitendan Ayub Ismail yang mewakili Timbalan Komander Briged Utara PGA Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis berkata, pihaknya akan meneruskan program outreach ke masjid mengikut kemampuan dan bekalan vaksin yang diterima daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 
 
"Kita akan meneruskan program seumpamanya di masjid-masjid sekitar Daerah Kinta dari semasa ke semasa," katanya. 
 
 
Imam 1 Maaruf, Abdul Rahim Darus, 48, yang mendapat vaksinasinya yang pertama pada hari ini menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang bekerjasama dalam menjayakan program outreach tersebut. 
 
"Alhamdulillah, hari ini saya sudah mengambil vaksin bagi melindungi diri daripada dijangkiti Covid-19 sekali gus memudahkan saya menunaikan solat jemaah di masjid," jelasnya.
 
Satu-satunya penerima vaksin bukan Islam, Cheah Yong Cheng, 22, berkata dia amat kagum dengan kelancaran program outreach pada hari ini. 
 
Dia yang hampir enam bulan berdaftar di MySejahtera dan masih belum menerima panggilan berasa bertuah dan berterima kasih atas keprihatinan Dr Khairudin yang memberi peluang kepadanya untuk mendapatkan suntikan dos pertama vaksin pada program berkenaan.