IPOH- Seawal jam 9.00 pagi penduduk-penduduk Kampung Tasek berbaris panjang menanti giliran menerima ikan segar sumbangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Ahli Majls MBI Rafaad Razalli Zon 10 (Kampung Tasek) berkata sebanyak 450 bungkusan ikan segar habis diedarkan kepada penduduk Kampung Tasek sebelum tengahari.

“Diharapkan bantuan yang diberikan ini dapat meringankan beban kehidupan penduduk -penduduk yang sememangnya terkesan dengan Covid-19.

“Program MBI Prihatin telah berjaya mendekati dan mendengar keluh kesah warga kota terutamanya pada mereka yang kehilangan pendapatan mahu pun pekerjaan.

“Terima kasih kepada MBI yang sehingga kini tetap terus menyalurkan bantuan dalam berbagai bentuk. Saya yakin sumbangan ini bukan sahaja meringankan bebanan perbelanjaan harian tetapi sebagai tanda sokongan dalam mengharungi detik-detik sukar ini,” katanya kepada Peraktastic selepas Program Bantuan Makanan Basah di Gelanggang Futsal Berbumbung Kampung Tasek,di hari ini.

Mimi Zaharah Syahwal,50, penduduk asal Kampung Tasek berkata sumbangan seumpama ini belum pernah dilaksanakan, tambahan pula melibatkan seluruh penduduk kampung tanpa ada yang terpinggir.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada MBI khasnya Datuk Bandar Ipoh yang sentiasa prihatin kepada warga kota sewaktu pandemik ini.

“Sumbangan ini juga dapat mengurangkan pergerakan kami ke pasar harian untuk beberapa hari demi menjaga keselamatan diri sendiri,”katanya.

Program ini turut mendapat sokongan dan kerjasama dari Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Kampung Tasek dalam membantu mengagihkan sumbangan disamping memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).