IPOH - Seramai 153 mangsa daripada 45 keluarga dipindahkan ke empat pusat penempatan sementara (PPS) di Larut Matang Selama, Kerian dan Teluk Intan. 
 
Jumlah ini meningkat sedikit berbanding 136  mangsa daripada 41 keluarga malam tadi. 
 
Hujan lebat sejak kelmarin menyebabkan beberapa kawasan rendah di tiga daerah dinaiki air manakala penduduk terjejas dipindahkan oleh bomba dan pasukan penyelamat ke PPS. 
 
Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, jumlah paling ramai di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Matang dengan 107 daripada 33 keluarga. 
 
"Mereka dipindahkan dari Kampung Sungai Rentaka Matang, Kampung Jabor Kiri, Kampung Changkat Baru dan Kampung Malawati. 
 
"PPS lain ialah di Dewan Orang Ramai Sungai Baru melibatkan 13 penduduk Kampung Sungai Nyior daripada empat keluarga manakala sebuah lagi ialah PPS SK Changkat Lobak dengan 25 mangsa (tujuh keluarga)," ujarnya. 
 
PPS yang dibuka di Teluk Intan ialah Dewan Sekolah Menengah Smart Batu 4 Jalan Changkat Jong dengan tujuh mangsa daripada satu keluarga dipindahkan. 
 
Ends//