IPOH - Walaupun pandemik Covid-19 masih menular namun itu bukan penghalang untuk membangkitkan rasa cintakan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang di premis perniagaan sempena menyambut Hari Kemerdekaan ke-64 tahun ini. 
 
Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 1 (Hulu Kinta), Datuk Mazlan Abd Rahman berkata pada hari ini sebanyak 150 Jalur Gemilang diedarkan kepada komuniti peniaga di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta. 
 
Menurutnya antara lokasi pengagihan bendera Malaysia itu adalah Pekan Tambun, Taman Perpaduan, Tanjung Rambutan dan Kanthan Baru. 
 
"Jalur Gemilang ini diedarkan kepada peniaga premis yang berdaftar dengan MBI terdiri daripada pelbagai kaum. 
 
"Pemberian bendera ini adalah dalam usaha menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat dan salah satu cara untuk menunjukkan semangat cintakan negara sempena sambutan kemerdekaan," katanya kepada Peraktastic pada Ahad. 
 
Mazlan berkata, rakyat disarankan untuk mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda solidariti rakyat melawan pandemik Covid-19. 
 
Beliau yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Tambun berkata, selain pengibaran Jalur Gemilang pada Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, rakyat di Perak juga digalakkan untuk mengibarkan bendera negeri Perak sempena Hari Keputeraan Sultan Perak. 
 
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah berkata, walaupun peniaga terkesan akibat wabak Covid-19 tapi itu tidak boleh melunturkan semangat kecintaan mereka kepada negara.
 
"Pengibaran Jalur Gemilang dalam kalangan peniaga sekurang-kurangnya dapat menyemarakkan kasih dan cinta kepada negara sepanjang bulan kemerdekaan ini," ujarnya.