IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Persatuan Kebajikan Islam MBI (Perkip) dengan kerjasama Surau Al-Falah Taman Song Choon menyantuni warga MBI dengan mengedarkan 300 bubur asyura di hadapan Dewan Mesyuarat MBI, hari ini.
 
Gimik pengagihan bubur asyura itu disempurnakan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud dengan menyampaikannya kepada Ahli Majlis, Pengarah Kanan dan Ketua Jabatan MBI. 
 
Ahli Majlis MBI Zon 21 (Sungai Rapat), Abu Bakar Hussian berkata, sebanyak dua periuk digunakan bagi memasak bubur asyura mengikut resipi istimewa oleh pihak surau terbabit.
 
Menurutnya, bubur asyura itu kemudiannya diagihkan ke dalam 450 bekas, 300 bekas diberikan kepada warga MBI manakala selebihnya untuk diedarkan kepada penduduk di Taman Song Choon. 
 
"Acara memasak bubur asyura yang disediakan Ahli Jawatankuasa surau ini bermula sejak jam 8 pagi tadi dan mengambil masa kira-kira dua jam setengah untuk menyiapkannya. 
 
"Aktiviti tersebut dilaksanakan sempena sambutan Awal Muharram baru-baru ini dan akan dijadikan aktiviti tahunan pada masa akan datang," katanya kepada Peraktastic pada Isnin.
 
Sementara itu, menyentuh mengenai sambutan bulan kemerdekaan, Rumaizi berkata MBI amat menggalakkan pemasangan Jalur Gemilang di semua bangunan dan rumah persendirian di sekitar bandar raya Ipoh bagi menyemarakkan semangat cintakan negara.
 
Selain itu, beliau berkata, pada tahun ini tiada pemberian diskaun saman sempena Hari Merdeka memandangkan ia telah dilaksanakan sejak 1 Mac lalu. 
 
"Sebelum ini, kita memberikan diskaun saman pada Hari Merdeka dan sambutan Hari Bandaraya Ipoh. 
 
"Bagaimanapun sejak pandemik Covid-19 melanda, kita telah memberi diskaun saman bermula 1 Mac dan akan dilanjutkan sehingga akhir tahun ini," jelasnya. 
 
Katanya, potongan diskaun sehingga 50 peratus turut diberikan kepada warga kota yang membayar saman menggunakan aplikasi dalam talian.