IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berjaya menyiapkan pembinaan tapak pengumpulan sampah melibatkan 12 kampung di sekitar bandaraya Ipoh.

Setiausaha Bandaraya Ipoh, Ahmad Munir Ishak berkata pembinaan tapak pengumpulan sampah itu merupakan sokongan kepada hasrat  program ‘Quit Win’ oleh Menteri Besar, Dato’ Saarani Mohamad yang melibatkan Kutipan Sampah Luar Kawasan Operasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“MBI berjaya melaksanakan program ini di 12 kampung daripada 100 bilangan kampung atau tempat pengumpulan sampah yang dicadangkan oleh kerajaan negeri. Perkhidmatan kutipan sampah mengikut jadual telah ditetapkan bermula 1 April 2021.

“Berlaku sedikit kelewatan perlaksanaan program ini di Kampung Ulu Chepor disebabkan oleh krisris pandamik COVID-19 serta  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya berharap dapatlah para penduduk kampung menggunakan sepenuhnya kemudahan ini bagi memastikan kebersihan alam sekitar terjamin dan memberi manfaat kepada semua,” katanya kepada Peraktastic selepas Program Penyerahan Tong Sampah (660 liter) dan Penyerahan Tapak Pengumpulan Sampah di Masjid Rahmaniah, Kampung Ulu Chepor kepada wakil Pengerusi Masjid Rahmaniah, Anuar Hussin hari ini.

Turut hadir Ahli Majlis MBI Zon 5 (Manjoi), Datuk Azizul Kama Abd Aziz, Ahli Majlis MBI Zon 3 (Manjoi), Mohammad Sharif Mohamad b. Sharif dan AJK Masjid Rahmaniah, Kampung Ulu Chepor.