IPOH - Perpustakaan Tun Razak (PTR) kini berseri dengan lukisan mural di beberapa bahagian dinding luar sekitar bangunan terbabit. 
 
Projek mural yang dilaksanakan pelukis tempatan itu bermula awal Ogos lalu dan sudah siap sepenuhnya untuk tatapan pengunjung. 
 
Penolong Pegawai Tadbir Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Rohayu Mohd Tahir berkata sudah tiba masanya bangunan perpustakaan itu berwajah baharu mengikut arus pemodenan terkini. 
 
"Saya merasakan ini adalah masa terbaik menjadikan perpustakaan ini berwajah baharu dengan harapan menjadi mercu tanda kepada bandar raya Ipoh.
 
"Selain itu, lukisan mural berkenaan turut mencantikkan dinding bangunan terbabit dan kelihatan lebih ceria serta mampu menarik perhatian pengunjung untuk singgah ke perpustakaan ini," katanya ketika ditemui media di PTR Ipoh. 
 
Dalam perkembangan sama, Kakitangan PTR, Uthira Kumari berkata dalam tempoh 30 tahun, ini adalah kali pertama dia melihat pihak perpustakaan mengambil inisiatif menceriakan sekitar luar bangunan dengan lukisan mural berkonsepkan ilmu. 
 
"Motif yang dipaparkan di mural terbabit memang dilihat menjurus kepada ilmu sahaja," ujarnya 
 
Seorang lagi kakitangan PTR, Mohd Shazmir Haify Mohd Murad pula berkata lukisan mural ini mampu menarik perhatian pelajar dan pelancong untuk datang ke perpustakaan tersebut. 
 
"Mereka boleh datang sendiri dan tengok lukisan ini secara dekat dan hasilnya nampak 'real' (hidup)," jelasnya. 
 
Sementara itu, Pelajar Praktikal, Dhiya Anisah Abdul Halim, berkata mural ini selain daripada cantik dan menarik ia boleh dijadikan sebagai satu kempen kesedaran kepentingan membaca kepada orang ramai. 
 
"Jika dilihat pada mural ini, orang ramai akan memahami konsep yang cuba disampaikan iaitu kepentingan membaca dan kemudahan yang terdapat perpustakaan.
 
"Tidak dinafikan lukisan mural amat digemari ramai dan menjadi salah satu trend tarikan pelancong serta boleh diabadikan dalam Instagram dan media sosial lain," ujarnya.