IPOH - Keadaan banjir di negeri bertambah baik apabila hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka untuk menempatkan 50 mangsa daripada 16 keluarga setelah PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak di Kerian ditutup pukul 5 petang tadi.

Sebelum ini PPS berkenaan dihuni 110 mangsa daripada 43 keluarga yang merupakan penduduk Kampung Matang Tengah.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak dalam satu kenyataan memberitahu, mangsa-mangsa yang berada di PPS SK Alor Pongsu, Kerian ketika ini adalah penduduk dari lima buah kampung.

“Antaranya dari Kampung Matang Pasir, Kampung Parit Simpang 4 dan 5, Kampung Baru dan Kampung Matang Tengah Changkat Lobak.

“Kita akan memantau situasi semasa dan mangsa-mangsa boleh dibenarkan pulang jika keadaan pulih sepenuhnya,” ujar jurucakap tersebut.

Kawasan sekitar Alor Pongsu dilanda banjir kilat apabila ban Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Samagagah pecah menyebabkan air melimpahi Kampung Matang Pasir dan Kampung Parit Haji Kasim.

Dua lokasi di ban sepanjang dua kilometer itu telah pecah dan kerosakan itu melibatkan sepanjang 10 meter dan 30 meter.