IPOH - Seramai 136 komuniti Cina di Kampung Kuala Kuang menerima suntikan vaksin dos pertama dan kedua melalui Program Pemberian Vaksinasi Outreach yang dilaksanakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta pada hari ini.
 
Rata-rata penerima vaksin terdiri daripada warga emas, golongan orang kelainan upaya (OKU), uzur dan penduduk di sekitar kampung berkenaan.
 
Kebanyakkan penduduk yang menerima vaksin sukar untuk ke PPV atas faktor kesihatan dan inisiatif yang dilakukan PPV Klinik Briged Utara PGA ini secara tidak langsung membantu  hasrat kerajaan ke arah mencapai imuniti kelompok. 
 
Program outreach yang diadakan bermula jam 9 pagi itu diadakan di Dewan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Kampung Kuala Kuang membabitkan doktor, ketua jururawat, pembantu perubatan dan 12 petugas dari klinik berkenaan serta dibantu Ahli Jawatankuasa KRT Kampung Kuala Kuang.
 
Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 5 (Manjoi), Datuk Azizul Kama Abd Aziz menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua yang terbabit dalam menjayakan program outreach yang diadakan buat kali kedua di kawasan berkenaan.
 
"Hari ini adalah prorgram outreach kedua yang diadakan di sini selepas yang pertama pada 7 Ogos lalu. Ada dalam kalangan penduduk yang mendapat vaksin dos kedua dan PPV Klinik Briged Utara PGA turut memberikan suntikan dos pertama kepada 100 penduduk yang masih belum divaksin. 
 
"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terbabit terutamanya Timbalan Komander Briged Utara PGA Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis atas sumbangan beliau terhadap perkhidmatan yang diberikan PPV Klinik Briged Utara PGA serta pihak lain yang turut sama-sama membantu bagi memastikan proses pemberian vaksinasi ini berjalan lancar," katanya kepada Peraktastic pada Sabtu.
 
Terdahulu, Azizul Kama meninjau proses pemberian vaksin pada program berkenaan. 
 
Hadir sama, Pengerusi Yayasan Aiman, Datuk Aminuddin Md Hanafiah dan Pegawai Kebajikan Briged Utara PGA merangkap Pegawai Penyelaras PPV Klinik Briged Utara, Sub Inspektor Saidu Kenchi Mohamad.  
 
Kira-kira dua minggu lalu, PPV Klinik Briged Utara PGA telah melaksanakan program outreach ini dari rumah ke rumah membabitkan warga emas dan pesakit terlantar untuk menerima suntikan vaksinasi.