IPOH - Pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah agensi yang kerap turun padang serta memainkan peranan penting dalam aspek pembangunan dan kemajuan bandar raya Ipoh. 

Menyedari hakikat itu, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta memberikan suntikan vaksinasi dos pertama kepada 100 warga kerja Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini, hari ini. 
 
Ahli Majlis MBI Zon 1 (Hulu Kinta) Datuk Mazlan Abd Rahman berkata kakitangan terbabit adalah mereka yang bekerja di lapangan iaitu lokasi-lokasi awam di sekitar bandar raya ini. 
 
Menurutnya, mereka juga seperti petugas barisan hadapan (frontliner) yang banyak membantu kerajaan dan masyarakat melalui tugas yang diamanahkan. 
 
"Hari ini seramai 100 kakitangan MBI diberikan suntikan vaksinasi dos pertama di PPV Klinik Briged Utara. 
 
"Mereka antara kakitangan yang banyak membantu dalam menjaga kebersihan di sekitar bandar raya Ipoh," katanya kepada Peraktastic pada Isnin. 
 
Mazlan turut menyampaikan sumbangan daripada MBI kepada Pegawai Kebajikan Briged Utara PGA merangkap Pegawai Penyelaras PPV Klinik Briged Utara, Sub Inspektor Saidu Kenchi Mohamad bagi pengurusan PPV berkenaan.
 
Beliau yang mewakili Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berharap usaha murni PPV Klinik Briged Utara ini akan diteruskan bagi membantu masyarakat mendapatkan suntikan vaksin supaya hasrat kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok mengikut tempoh masa ditetapkan terlaksana. 
 
"Selepas ini, akan ada lebih banyak Program Outreach Vaksinasi di masjid-masjid dan kawasan-kawasan lain dari semasa ke semasa.
 
"Dalam masa sama, kita teruskan berdoa agar pandemik Covid-19 berakhir dengan segera demi kesejahteraan semua," jelasnya. 
 
Seramai 14 petugas terbabit sepanjang proses pemberian vaksinasi pada hari ini yang bermula dari jam 8.30 pagi berakhir kira-kira enam jam kemudian.