IPOH- Datuk Bandar Ipoh, Dato' Rumaizi Baharin@Md Daud menzahirkan rasa kagum terhadap penduduk Garden Villa Sunway City, Ipoh (GVSC) yang hidup dalam suasana harmoni dan muhibbah.

Rumaizi berkata, kemuafakatan warga penduduk GVSC jelas terlihat menerusi Program Kempen Kibar Jalur Gemilang yang berlangsung di perkarangan pintu masuk GVSC.

“Menerusi program ini mereka berjaya menyatukan semangat muhibbah di samping membangkitkan semangat patriotik sempena hari kemerdekaan yang ke-64 tahun ini.

“Semangat perpaduan berbilang kaum ini, bersesuaian dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini. Sekiranya masyarakat dapat memperkukuhkan konsep ini, saya yakin negara akan lebih makmur dan sejahtera,” katanya dalam sidang media sejurus berakhirnya program Program Kempen Kibar Jalur Gemilang Bersama Penduduk GVSC di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahli Majlis MajIis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 2 (Hulu Kinta), Puteri Holijah Muhamad Rali berkata semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh penduduk di sini seharusnya dicontohi oleh warga kota khasnya.

“Krisis pandemik Covid-19 yang melanda sekarang ini bukanlah penghalang kepada warga GVSC untuk bersatu hati bagi menyambut hari kemerdekaan ini. Keharmonian yang dikecapi oleh mereka ini adalah hasil dari amalan hormat menghormati tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama,” katanya.

Program itu juga turut menyaksikan penanaman pokok bunga hiasan dari jenis Frangipani oleh Rumaizi diikuti Puteri Holijah dan Setiausaha Persatuan Penduduk GVSC, M Banthunathan di hadapan pintu masuk GVSC.

Pengerusi Persatuan Penduduk GVSC, Lim Chau Hing, 64, turut mencadangkan beberapa usul kepada pihak MBI untuk menambah baik persekitaran CVSC.

“CVSV merupakan salah satu kawasan perumahan yang dihuni lebih 4,000 orang penduduk sejak 20 tahun lalu. Menerusi persatuan yang telah diwujudkan, ianya membawa banyak manfaat kepada komuniti di sini.

“Kami bercadang ingin memperindahkan kawasan taman perumahan ini dengan menambah baik lanskap-lanskap yang sedia ada untuk keselesaan aktiviti beriadah. Kami berharap cadangan ini mendapat sokongan dari pihak MBI’” katanya.