IPOH - Walaupun negara masih 'berperang' melawan pandemik Covid-19, itu tidak menghalang rakyat Malaysia untuk menyemarakkan Hari Kemerdekaan yang ke-64 dengan suasana norma baharu pada hari ini. 

Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 21 (Sungai Rapat) Abu Bakar Hussian dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Muafakat Sejahtera Kinta sert Komuniti Dakwah Ipoh menganjurkan Program Edaran Kupon Minyak Percuma dan Jalur Gemilang kepada penghantar makanan (food rider) berhadapan restoran makanan segera KFC dan Pizza Hut Medan Gopeng, di sini. 
 
Pemberian yang diadakan secara pandu lalu itu bermula pada jam 11 pagi dan berakhir kira-kira dua jam kemudian. 
 
Abu Bakar berkata, seramai 200 penghantar makanan antaranya termasuklah Foodpanda, GrabFood dan lain-lain menerima manfaat itu. 
 
Menurutnya, selain kupon minyak dan Jalur Gemilang, pihaknya turut menyumbangkan pelitup muka kepada penghantar makanan berkenaan. 
 
"Kita mengadakan program ini bagi menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan dalam kalangan penghantar makanan di sekitar bandar raya Ipoh. 
 
"Mereka boleh juga diibaratkan 'frontliner' yang banyak membantu terutamanya dalam tugas penghantaran makanan dan minuman kepada rakyat terutamanya sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. 
 
"Dalam masa sama, kita turut bertanyakan masalah yang dialami penghantar makanan ini. Antara perkara yang dibangkitkan termasuklah pendapatan mereka sedikit terjejas akibat Covid-19 dan masa ada yang belum menerima suntikan vaksin. 
 
"Justeru, pemberian kupon minyak motosikal ini diharap dapat mengurangkan beban yang dihadapi mereka," katanya ketika ditemui Peraktastic tengah hari tadi. 
 
Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Muafakat Sejahtera Kinta Mohd Harith Hamzah dan Pengerusi Komuniti Dakwah Ipoh, Fariq Izwan. 
 
 
Sementara itu, penghantar Foodpanda Megat Zakuwan Zaidi Mohd, 33, mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang diberikan pada hari ini. 
 
Dia yang baru empat bulan menjadi penghantar makanan secara sambilan itu pendapatan yang diterima melalui kerja berkenaan sedikit sebanyak membantu untuk menampung kehidupannya dan keluarga. 
 
"Saya bekerja sebagai Pengawal Keselamatan dan melakukan kerja penghantar makanan secara 'part-time'. Alhamdulillah, jika sebelum ini gaji yang diterima hanya cukup makan sahaja tetapi kini saya mampu untuk membeli barangan kegemaran serta memberikan wang saku kepada ibu bapa," jelasnya.