IPOH - "Ini yang pertama dan bukan yang terakhir," ujar Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berhubung projek pemasangan panel solar fotovoltaik (PV) yang dijangka akan diperluaskan ke seluruh bandar raya Ipoh pada masa akan datang. 

Menurutnya, projek rintis PV selesai dipasang di Bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Perak pada Julai lalu, susulan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara MBI bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan anak syarikat TNB, GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) pada 23 Mac.
 
Katanya, projek itu mampu memberi penjimatan bil elektrik sehingga RM2.5 juta kepada MBI bagi tempoh 21 tahun di bawah kontrak Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE).
 
"Penggunaan panel solar PV ini bertepatan dengan usaha MBI untuk mencapai matlamat menjadi bandar raya pintar, lestari dan rendah karbon yang lebih bersih, hijau dan lebih maju malah mampu menjimatkan RM47,964 bil elektrik pada tahun pertama projek. 
 
"Penggunaan sistem ini di Bangunan UTC Perak membantu menjimatkan sebanyak 22 peratus bil TNB dari data yang direkodkan pada bulan Ogos," jelasnya. 
 
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Turun Padang Datuk Bandar Lawatan Kerja Projek Solar di UTC Perak, di sini, hari ini. 
 
Hadir sama, Ketua Retail TNB Perak Ir Mohd Azhar Abd Rashid.
 
Dalam perkembangan berkaitan, Rumaizi berkata, pemasangan panel solar ini bukan sekadar menjimatkan kos elektrik tetapi secara tidak langsung membantu dalam menuju Ipoh ke arah bandar raya rendah karbon menjelang 2030. 
 
"Kita cuba untuk tidak menggunakan tenaga berasaskan fosil dan pergi kepada tenaga diperbaharui seperti salah satunya, solar. 
 
"Kalau kita tengok tadi unjuran sistem teknologi ini dapat menyelamatkan 47 batang pokok dalam setahun serta mengurangkan 70 peratus daripada pengeluaran karbon," katanya. 
 
Ujarnya, pemasangan PV ini akan diperluaskan ke bangunan atau premis milik MBI di seluruh bandar raya Ipoh pada masa akan datang. 
 
"Selepas ini kita akan memperluaskannya ke Kompleks Sukan MBI seperti Stadium Perak, Stadium Indera Mulia serta Pusat Akuatik Tuanku Zara," jelasnya. 
 
Tambahnya, satu Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Rendah Karbon juga turut dihasilkan menerusi kerjasama pelbagai pihak dengan MBI termasuk TNB bagi mencapai tujuan tersebut.