IPOH - Tindakan menolak divaksin boleh menyebabkan golongan pekerja dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP).

Walaupun tiada peruntukan undang-undang khusus mewajibkan vaksinasi, tetapi majikan masih boleh menggunakan undang-undang lain atas kepentingan kesihatan dan keselamatan di tempat kerja.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ini kerana tindakan menolak divaksin boleh dianggap mengancam keselamatan pekerja lain.

"Memang belum ada peruntukan atau akta tetapi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan masih boleh dikuatkuasakan.

"Semua orang tahu betapa pentingnya mengambil vaksin sebagai langkah melindungi daripada jangkitan Covid-19 dalam masyarakat," katanya.

Terdahulu beliau menyampaikan cek faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada balu pengawal keselamatan di Taman Buntong Ria di sini.

Kata Saravanan, AKKP 1994 itu masih boleh dikuatkuasakan berikutan risiko kesihatan tempat kerja jika ada dalam kalangan pekerja yang tidak menerima vaksin.

Tegas beliau, kilang atau premis yang tidak mempunyai ruang pengudaraan selamat seperti ditetapkan juga boleh dikenakan tindakan di bawah akta sama.

Sebelum ini Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa majikan supaya tidak membuang pekerja yang enggan divaksin sebaliknya isu tersebut perlu ditangani dengan bijak dan berhemah.

MTUC mahu pihak syarikat peka dan bertimbang rasa terhadap pekerja yang tidak mengambil vaksin kerana beberapa faktor yang menghalang mereka berbuat demikian.