IPOH - Kerja-kerja baik pulih bumbung rosak dan uzur di Pasar Pasir Pinji yang menelan belanja RM300,000 di bawah peruntukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dijangka siap sepenuhnya pada 22 September ini.
 
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, kos membaik pulih bumbung itu adalah sebahagian peruntukan pembangunan MBI pada tahun ini yang berjumlah RM28 juta. 
 
Menurutnya, sebelum ini terdapat cadangan untuk membina pasar baru memandangkan ia sudah beroperasi kira-kira 50 tahun dan terlalu uzur namun peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) masih belum diperolehi.
 
Tambahnya, Ahli Majlis MBI segera bertindak menyalurkan aduan berhubung kerosakan di pasar berkenaan kepada MBI serta membantu dalam memberi pandangan, khidmat nasihat dan memantau kerja-kerja yang dijalankan di premis itu. 
 
"Berikutan itu, MBI mengambil inisiatif untuk melaksanakan kerja pembaikan kecil sebegini bagi keselesaan dan keselamatan peniaga serta pengunjung pasar. 
 
"InshaALLAH kalau tidak ada masalah, mungkin tahun depan kita akan tambah sedikit demi sedikit, mana yang kritikal kita baiki satu persatu.
 
"Bila saya dengar cerita orang (peniaga) di sini selalu berhadapan dengan bumbung bocor dan litar pintas dan nyawa boleh hilang kalau terbakar, jadi saya rasa benda ini kita tidak boleh tangguh lagi jadi kita cari peruntukan dalaman dan bantu dulu rakyat," katanya pada sidang media selepas selesai membuat tinjauan di pasar berkenaan pagi tadi. 
 
Hadir sama, Ahli Majlis MBI Zon 14 (Pasir Pinji), Dr Richard Ng; Pengarah Kejuruteraan MBI, A'zman Mohd Harun dan Ketua Penolong Pengarah Kejuruteraan Kerja dan Operasi MBI, Arif Mohd Zainudin. 
 
Dalam perkembangan berkaitan, Rumaizi berkata kontraktor yang menjalankan kerja membaik pulih bumbung itu akan melakukan secara berperingkat tanpa mengganggu operasi perniagaan peniaga di premis berkenaan. 
 
Katanya, kontraktor akan memulakan kerja penukaran bumbung selepas jam 1 tengah hari setiap hari selepas selesai waktu perniagaan.
 
"Sehubungan itu, kita berharap kerja-kerja ini akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada peniaga dan pengunjung pasar pada masa akan datang," jelasnya. 
 
Richard berkata, kerja membaiki bumbung sudah dirancang sejak Januari lalu rentetan kebakaran yang berlaku di pasar berkenaan.
 
"Bumbung bocor ini menyebabkan air masuk terutamanya ketika hujan dan berlaku lintar pintas yang boleh membahayakan peniaga dan pengunjung pasar," ujarnya. 
 
Beliau terus membuat aduan kepada MBI dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) segera memulakan kerja membaik pulih sejak 30 Ogos lalu.
 
Sementara itu, peniaga kuih, Lie Mei Lee, 55, yang sudah 20 tahun menjalankan perniagaan di situ mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Datuk Bandar kerana cakna akan masalah yang berlaku di pasar terbabit. 
 
"Sudah lebih lima tahun kami membuat aduan mengenai kerosakan yang dialami di beberapa bahagian pasar ini. Akhirnya, kami berasa puas hati apabila MBI tampil untuk bantu menyelesaikan masalah yang membelenggu peniaga-peniaga di sini," jelasnya.