KAMPAR – Kerajaan negeri mensasarkan hampir 20,000 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak bakal menerima dua dos vaksin menjelang bulan Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammad Radzi berkata, pada masa yang sama sekitar 1,200 pemain industri pelancongan berdaftar juga masih belum menerima vaksin.

Kita akan pastikan pemberian dos pertama bermula September ini kepada mereka yang belum divaksinasikan menerusi pendaftaran dengan pihak kerajaan sama ada melalui Tourism Perak ataupun PBT.

Ini kerana kita mahu pembukaan ekonomi yang dibenarkan dalam fasa dua dapat kita jalankan secara sepenuhnya dalam keadaan selamat untuk menjaminkan keselamatan pengunjung sama juga dengan pekerja,” katanya selepas melawat program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) anjuran Kementerian Perumahan Tempatan (KPKT) di Dewan Azman Mahalan semalam. 

Program dua hari di Perak itu mensasarkan 4,200 orang divaksinasi, dengan tumpuan untuk penjaja dan komuniti setempat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) KPKT, Datuk Azhar Ahmad berkata, sebanyak 70 peratus daripada 80,000 dos yang diperuntukkan kepada kementerian telah digunakan.

Kebanyakan dos itu digunakan untuk penerima di negeri-negeri utara seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang serta Perak dan bakinya akan dihantar ke Johor dan Terengganu,” katanya.