IPOH - Kisah cinta Makcik Saadiah sememangnya tiada galang ganti.

Keutuhan sayangnya seorang isteri pada suami tercinta yang terkorban di muncung senjata komunis semasa bertugas demi negara menjadi sebutan apabila kisahnya disingkap suatu ketika dulu.

Makcik Saadiah, balu anggota polis ini mengayuh basikal dari rumah sejauh lima kilometer selama 37 tahun untuk menghantar makanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik telah tiada.

Makcik Saadiah berasal dari Kampung Padang, Kuala Kenderong, Gerik meninggal dunia di Hospital Gerik pada pukul 1.30 petang kerana sakit tua.

Semasa hayatnya, Makcik Saadiah bertindak menghantar makanan siap dimasak sebagai tanda sayang dan ingatan kepada Allahyarham suaminya, Alias Nik Daud, yang pernah bertugas di IPD itu.

Alias, seorang jurubot polis terkorban dalam serang hendap komunis ketika bertugas pada 28 Ogos 1975.

Walaupun tahu suami telah tiada, namun Makcik Saadiah tetap mengayuh basikal menghantar makanan supaya rakan suaminya dan anggota balai itu dapat menjamah masakannya.

Kisah Makcik Saadiah ini menjadi inspirasi satu iklan raya sebuah syarikat pengeluar minyak masak sempena Aidilfitri 2021 lalu yang sangat menyentuh hati.

Pada tahun 2012, Makcik Saadiah berhenti melakukan rutin menghantar makanan selepas insiden terjatuh basikal.

Ekoran itu, anaknya yang tinggal bersama bertindak membuka tayar basikal supaya ibunya tidak lagi mengayuh kerana khuatir mengundang bahaya.