IPOH - Gelagat comel dan mencuit hati seorang penerima vaksin yang memakai kostum beruang menarik perhatian orang ramai termasuk petugas barisan hadapan (frontliner) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini, hari ini.
 
Muhammad Irfan Nur Oman Abd Manaff, 20, yang ditemani ibu saudaranya, Zaliha Elias, 39, dari Bandar Baru Putra Bercham hadir ke PPV itu bagi mendapatkan suntikan vaksin dos kedua. 
 
Pelajar yang mengambil jurusan Teknologi Kimpalan Kolej Vokasional Lebuh Cator (KLVC) itu baru menamatkan latihan praktikal terbabit turut dilihat melayani orang ramai yang mahu bergambar dengan kostum watak beruang Rilakkuma yang dipakainya itu. 
 
Dia yang memasang impian untuk menjadi anggota bomba itu berkata, tujuannya memakai kostum itu adalah untuk menghiburkan orang ramai dan frontliner yang bertugas di PPV berkenaan. 
 
"Sebelum ini, ketika dos pertama, saya berasa gementar untuk mendapatkan suntikan vaksin. Petugas PPV berusaha memujuk saya berkali-kali sehingga akhirnya saya menerima suntikan vaksin itu. 
 
"Disebabkan insiden berkenaan saya membeli kostum beruang ini bagi mengurangkan rasa cemas dan idea itu berhasil kerana suntikan vaksin dos kedua selesai dengan cepat," katanya yang membeli kostum itu dengan harga RM105 melalui Shopee. 
 
Sementara itu, Zaliha yang menjual tudung jenama Fareha secara dalam talian (online) berkata, anak saudaranya itu akan membantunya menjalankan khidmat penghantaran hadiah (surprise delivery) dengan menggunakan kostum berkenaan. 
 
"Kami bercadang untuk membuat perkhidmatan surprise delivery kepada mereka yang ingin membuat kejutan dengan memberikan hadiah tudung kepada yang tersayang. Selain itu, mereka yang memerlukan khidmat maskot untuk memeriahkan majlis juga boleh berbuat demikian," jelasnya kepada Peraktastic hari ini. 
 
Kepada yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan terbabit boleh menghubungi Zaliha di talian 011-1119 5843 atau layari laman Facebook Zaliha Elias.