IPOH – Koloni Karyawan Aman Jaya (PORT) dengan kerjasama Gerakan Seni Ipoh bakal menganjurkan program Simposium Muzik Ipoh (Ipoh Music Symposium - IMS) buat kali ketiga dan kali ini bertemakan Muzik Nusantara: Menelusuri Tradisi dan Kontemporari menggabungkan seniman tanahair dan negara jiran Indonesia.

Tahun lalu, penganjuran sama dengan tema Rock Kapak menempa kejayaan tersendiri apabila telah menarik kira-kira 150,000 pengunjung secara dalam talian.

Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Dato’ Mohamed Khairuddin berkata, penganjuran edisi kali ini yang juga diadakan secara dalam talian turut dijangka mendapat sambutan tambahan pula dengan penglibatan karyawan dua negara berjiran.

Menurut beliau, acara berprestij ini dianjurkan bersama kerajaan negeri Perak selain disokong oleh pihak Cendana (Cultural Economy Development Agency) dan Tourism Perak.

“Selama dua hari, simposium secara maya menyediakan pelbagai pengisian yang menarik selain sesi wacana, persembahan pentas secara rakaman dan juga promosi buku-buku bertemakan seni.

“Ia menampilkan nama-nama besar antaranya komposer terkenal tanah air Datuk M.Nasir dan ahli muzik multi genre Indonesia, Dwiki Dharmawan selain pembentangan simposium oleh 23 karyawan serta penggiat seni ternama,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sesi sidang akhbar IMS 2021 secara dalam talian yang turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Perak,
Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Nama-nama besar yang terlibat dalam IMS 2021 nanti seperti komposer dan pemenang Anugerah Juara Lagu, Manan Ngah; komposer dan pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Azam Dungun; pengasas Pusaka, Eddin Khoo dan pengasas Citra Research Center Indonesia, Dr. Citra Aryandari.

IMS 2021 antara lain diwujudkan untuk mengumpul input dan pelbagai perspektif mengenai bidang muzik melalui pembentangan makalah melalui panelis jemputan bagi membuka perbincangan serta kesan seni muzik ke atas masyarakat khususnya generasi muda.

Pengisian programnya meliputi sesi simposium, forum ‘Identiti dan Globalisasi’, forum ‘Loloq Dalam Kenangan’, konsert nusantara, promosi dan diskusi buku serta bengkel muzik.

Kata Hanim lagi, Konsert Nusantara akan diadakan secara langsung dalam talian di media sosial Facebook PORT Ipoh pada 2 Oktober bermula pukul 9 malam selama dua jam.

Konsert ini menampilkan persembahan Datuk M. Nasir, kumpulan Raksar, kumpulan Selendang Perak, Sada Borneo, Margasatwa, Space Gambus Experiment serta seniman Orang Asli iaitu Herry dan Alang Luhiew Renaweij.

Sementara kata Nolee Ashilin, IMS 2021 akan menjadi platform perkongsian dan pertukaran idea, saranan dan kritikan demi menyuburkan keberadaan muzik tempatan.

“Kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha-usaha penggiat seni tanahair khususnya melibatkan karyawan Perak sendiri.

“IMS 2021 walaupun dilakukan secara dalam talian tetapi ia juga melibatkan penyertaan ramai karyawan selain tenaga kerja tempatan di belakang tabir untuk menjayakan program ini seperti persembahan dan simposium,” ujar beliau.