IPOH - Pengguna khususnya dari Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara Ulu Kinta; Rancangan Perumahan Awam (RPA) Kampung Melayu termasuk dari perkampungan Orang Asli berhampiran boleh menarik nafas lega apabila pondok bas yang rosak teruk akibat hujan dan panas berhampiran kem berkenaan siap dibaiki serta boleh digunakan mulai hari ini. 
 
Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 1 (Hulu Kinta) Datuk Mazlan Abd Rahman berkata, kerja-kerja baik pulih yang dijalankan sejak bulan lalu tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
 
Menurutnya, MBI memperuntukkan RM10,000 untuk membaik pulih pondok bas berkenaan. 
 
"Sepatutnya, pondok bas ini siap sepenuhnya hanya dalam tempoh dua minggu tetapi disebabkan kekangan PKP kerja-kerja terbabit terpaksa ditangguhkan. 
 
"Bagaimanapun, pondok bas ini berjaya disiapkan dan dapat memberi manfaat terutamanya kepada remaja, orang bujang serta penduduk setempat yang masih menggunakan bas untuk ke bandar raya Ipoh," katanya kepada Peraktastic hari ini. 
 
Terdahulu, beliau bersama Timbalan Komander Briged Utara PGA Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis mengadakan majlis perasmian ringkas pembukaan semula pondok bas berkenaan, di sini. 
 
Hadir sama,Pegawai Kebajikan Briged Utara PGA Ulu Kinta, Sub Inspektor Saidu Kenchi Mohamad dan Ketua Kampung Melayu Batu 8, Mohd Zainudin Abdullah. 
 
Dalam perkembangan sama, Mazlan berkata, sebelum ini anggota PGA terpaksa mengikat dawai pada bumbung pondok bas itu bagi memastikan pengguna dapat berlindung di bawahnya. 
 
Sementara itu, Mohd Noh mengucapkan terima kasih kepada Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud, Ahli Majlis dan MBI serta akan terus mengeratkan hubungan silaturahim antara kedua-dua pihak sejajar dengan slogan 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada'.